|
BANGUNAN MARA |
Bangunan
MARA tersergam di tengah-tengah Bandar Raya Kuala Lumpur, bersempadankan
dua jalan raya yang amat sibuk iaitu Jalan Raja Laut di hadapan dan Jalan
Tuanku Abdul Rahman di sebelah belakangnya. Ia telah dibuka secara rasmi oleh
YAB Dato' Sri Dr Mahathir bin Mohamad, Perdana
Menteri Malaysia 12 April 1987.
Kompleks Bangunan
Sesuai dengan perkembangan zaman ini dan setanding dengan kompleks yang lain, kompleks ini mengandungi 5 tingkat blok podium, 22 tingkat blok menara dan 3 tingkat basement. Blok podium Medan MARA ini mengandungi 165 lot ruang niaga dengan keluasan keseluruhannya sebanyak 150 ribu kaki persegi. Salah satu ciri utama blok podium ini ialah 2 pintu masuk utama berhadapan Kompleks Pertama dan Jalan Raja Laut.
Blok menara dengan bentuk yang istimewa ini menyediakan ruang pejabat seluas 200,00 kaki persegi. Bangunan setinggi 26 tingkat ini dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan yang serba baru. Tingkap yang terdapat di keempat-empat penjurunya, menyediakan panorama kota yang indah. Ruang letak kereta bawah tanah Medan MARA boleh menempatkan sebanyak 373 buah kereta. Di tingkat pertamanya pula disediakan ruang niaga seluas 22,00 kaki persegi sesuai untuk pembinaan sebuah pasar raya.
Konsep Rekaan
Ilham pembinaan bangunan ini tercetus
dari tujuan untuk mewujudkan satu identiti dan imej tersendiri yang mengambarkan
kekayaan kebudayaan Melayu.
Blok
podium yang berbentuk perahu melambangkan semangat pengembaraan dan penerokaan pengetahuan
serta keinginan untuk mengejar kemajuan. Konsep ini mencerminkan budi pekerti
masyarakat Melayu yang sentiasa bersedia untuk meneroka bidang-bidang baru
demi kemajuan bangsa. Mural bangunan melambangkan pembangunan,
kemajuan dan perkembangan sosio-ekonomi anak-anak bangsa. Motif pucuk rebung
dan
awan larat yang digunakan diilhamkan daripada motif tingkap Masjid Sultan
Mehmet, Istanbul, Turki dan ukiran kayu Istana bandar Tinggi, Negeri Sembilan.
Kedua-dua ukiran ini disatukan untuk membentuk motif pinggiran kain songket,
seni tradisi orang-orang Melayu. Motif ini juga disulamkan dengan
rupa-rupa anyaman mengkuang
sejajar
dengan resmi masyarakat turun-temurun menggunakan tikar sebagai tempat
bermesyuarat, berbincang dan merancang ke arah kemajuan. Konsep reka bentuk Bangunan MARA
ini rata-rata melambangkan identiti senibina Melayu di Malaysia.