MAKTAB RENDAH SAINS MARA
 
 

PEPERIKSAAN PERCUBAAN
SIJIL PELAJARAN MALAYSIA 2001


 Bahasa Melayu


KERTAS 2
Dua jam tiga puluh minit
©2001  Hak Cipta Bahagian Pelajaran Menengah, MARA


1.    Kertas ini mengandungi 4 soalan
2.    jawab semua soalan
3.    Jawapan bagi soalan 3 (b), 3 (c), 3 (d) dan Soalan 4 berdasarkan teks Komponen Kesusasteraan Melayu Tingkatan 4 dan 5


Soalan 1 :  Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan kitar semula bahan industri. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

     Pembangunan negara yang semakin pesat, pertambahan bilangan penduduk, dan peningkatan kuantiti bahan sisa industri menyebabkan pencemaran alam berlaku. Isu pencemaran alam yang disebabkan oleh pelbagai bahan terutamanya bahan sisa industri terus-menerus diperkatakan sama ada secara biasa atau melalui forum-forum perbincangan. Isu ini semakin serius berlaku dalam dunia moden hari ini yang menjadikan perindustrian sebagai sumber ekonomi yang paling penting. Kesan pencemaran daripada sisa toksik dan sisa pepejal yang tidak dirawat mencemarkan sungai, tanah malahan pelbagai hidupan. Kawasan tanah boleh bertukar menjadi gersang dan beracun. Namun, berkat ketekunan para pengkaji sains telah berjaya membuktikan bahawa sampah-sarap sisa industri yang menjadi bahan kontroversi tadi boleh dikitar semula menjadi suatu bahan terbitan yang cukup bernilai untuk diperdagangkan.

     Bahan-bahan sisa industri yang dikeluarkan oleh kilang kelapa sawit, kilang kaca dan lain-lain lagi selama ini terbuang dan dibiarkan begitu sahaja tanpa dimanfaatkan. Tidak banyak pihak yang sudi memandang kegemerlapan yang tersembunyi di sebalik kesuraman bahan-bahan tersebut. Akibatnya, bahan ini bukan sahaja tidak menyenangkan mata memandang malahan mendatangkan masalah pencemaran yang serius seperti yang dinyatakan tadi. Dengan adanya langkah atau usaha untuk mengitar semula bahan sisa seperti ini, sekurang-kurangnya kita telah membantu dalam usaha menyelamatkan alam dan menjadikannya tempat yang selamat dan selesa untuk diduduki oleh generasi kini dan akan datang.

      Namun, hakikat yang paling penting ialah proses kitar semula sisa industri ini secara tidak langsung akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara. Pengeluaran bahan terbitan ini memberi peluang pekerjaan yang lebih luas kepada penduduk tempatan lantas meluaskan pasaran ekonomi tempatan juga. Bidang-bidang pembuatan yang baru boleh diteroka yang memungkinkan pelbagai barangan kegunaan tercipta. Pertumbuhan ini juga amat dibantu oleh penyelidikan yang sentiasa dilakukan untuk meningkatkan mutu produk. Sepasukan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia telah menghasilkan selulosa sisa kelapa sawit yang begitu berguna dalam industri fabrik dan plastik. Selulosa yang selama ini dimport dari luar negara dengan harga jutaan ringgit, kini sudah boleh dikeluarkan di sini dengan harga yang jauh lebih murah.

      Perawatan bahan sisa industri perlu dipertingkatkan secepat mungkin. Pelbagai kaedah yang terkini boleh digunakan untuk menjalankan kitar semula di samping memastikan bahawa pencemaran alam tidak berleluasa. Tenaga Nasional Berhad telah merancang untuk bergabung dengan pelbagai pihak swasta dalam membangunkan industri janaan biomas yang menggunakan bahan kitar semula. Langkah-langkah kawalan juga sentiasa dilakukan oleh majlis-majlis tempatan dalam memastikan kesedaran di kalangan pengusaha industri untuk memastikan pemprosesan dilakukan dengan lebih efisien. Usaha untuk melahirkan generasi yang bertanggungjawab dan berbudaya sains memerlukan kerjasama semua pihak dan bukannya usaha kerajaan semata-mata.
 
                                                                                    (Diubahsuaikan daripada Sisa Industri Hasilkan Pendapatan Lumayan
                                                                                       oleh Ruzian Mohd Jan, Dewan Kosmik, Jun 1999)
                                                                                                                                                [30 markah]

Soalan 2 : Pengetahuan Bahasa dan Kemahiran Tatabahasa
             [20 markah]

Jawab semua soalan.

(a) Tulis ayat bagi setiap perkataan dalam pasangan perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan perbezaan maknanya. Anda tidak boleh menambah imbuhan, menukar imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa.

(i)     berbalik
(ii)     membalik-balik
(iii)    membalikkan
(iv)     menterbalikkan                                [4 markah]

(b) Dalam ayat-ayat di bawah terdapat penggunaan kata atau istilah yang tidak sesuai. Sila cari kata atau istilah tersebut dan gantikan dengan kata atau istilah yang sesuai.
 
    (i) Para pengunjung tidak dibenarkan masuk ke wad kerana pada ketika itu doktor sedang melihat pesakit.

    (ii) Yang Berbahagia Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Sentosa sedang memberikan ucapan sempena majlis        penyampaian hadiah di sekolah itu.                     [4 markah]

(c) Dalam setiap ayat di bawah terdapat beberapa kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkan dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

    (i) Para pelajar terpaksa menghadkan skop pembacaan kerana mereka sering dibebani dengan pelbagai tugasan.

    (ii) Demi untuk menjaga perpaduan negara semua rakyat perlulah bekerjasama dan bertoleransi di antara satu sama lain.

    (iii) Pengerusi majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kesudian Pengetua menghadirkan diri ke majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri.                             [6 markah]

(d) Pisahkan ayat-ayat dalam petikan di bawah ini kepada enam ayat dengan mengekalkan maksud dan struktur asalnya.

Kesihatan adalah antara aspek yang terpenting dalam kehidupan manusia dan juga haiwan. Dengan kesihatan yang baik manusia dapat bekerja mencari rezeki dan memberikan khidmat bakti kepada masyarakat. Negara memerlukan rakyat yang sihat kerana rakyat yang sihat mampu membangunkan negara.

[6 markah]

Soalan 3 :  Pemahaman
             [35 markah]

`
Jawab semua soalan.

(a) Petikan Umum

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.

    Akhir-akhir ini perkembangan yang amat menggalakkan berlaku dalam penerbitan majalah dan akhbar di Malaysia. Dengan sikap dan dasar kerajaan yang lebih terbuka, banyak permit baru diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membolehkan mereka yang berminat menerbitkan bahan-bahan bacaan berkala.

    Pertambahan bilangan majalah dan akhbar ini, sangat membantu meningkatkan minat membaca di kalangan masyarakat, khususnya kanak-kanak dan remaja. Jika minat ini terus dipupuk, generasi akan datang pasti akan terbiasa dengan budaya membaca. Namun, usaha meningkatkan minat membaca ini tidak akan memberi manfaat, malah mungkin akan mendatangkan mudarat, sekiranya bahan-bahan yang disajikan adalah bahan-bahan picisan, terutama kisah-kisah seks dan cerita-cerita tahyul.

    Realitinya sekarang, kanak-kanak dan remaja kita mula ketagih dengan majalah dan tabloid yang lebih banyak menonjolkan nilai-nilai negatif. Kisah-kisah tahyul, misteri, dan seks dijadikan umpan untuk menarik pembaca golongan ini.

    Ketika kita megah bercakap tentang kecanggihan teknologi maklumat dan Koridor Raya Multimedia, apa wajarnya kita memutar fikiran ke belakang dengan kisah-kisah fantasi seperti itu? Ketika isu gejala sosial hangat diperkatakan, wajarkah kita menjual bahan-bahan picisan kepada pembaca? Sekiranya tindakan tegas tidak dilakukan, bahan-bahan negatif ini akan terus mengisi pasaran.

        (Diubahsuaikan daripada  Mengawal Bahan Bacaan Yang Merosakkan Pembaca  Daripada Editor majalah Dewan
                                                                                                                                            Masyarakat, November 2000)
 

(i) Apakah masalah yang timbul dalam penerbitan media cetak di negara kita hari ini?         [2 markah]

(ii) Terangkan maksud rangkai kata memutar fikiran ke belakang dalam petikan di atas.        [2 markah]

(iii) Pada pendapat anda, siapakah yang bertanggungjawab untuk membendung pengaruh bahan picisan ini daripada menular di kalangan rakyat Malaysia?
Berikan alasan yang sesuai.                  [4 markah]
 

(b) Petikan Prosa Moden

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.

     Datin Sipah tahu suaminya mula marah. Sudah begitu tabiat Datuk Sukar. Junainah juga tahu ayahnya marah. Memang pantang Datuk Sukar maksudnya dibangkang. Fuad juga tahu semua itu.

     “Jadi kau nak gagalkan projek aku Fuad?” tengking Datuk Sukar.

     Fuad menggeleng. Suaranya lembut sekali menjawab, “Saya tak bantah projek Datuk. Projek itu baik. Tapi saya tak dapat biarkan tanah mak saya dirampas. Gunakan sajalah tanah Ban Heng tu. Saya tak sampai hati nak tengok tanah saya yang sekeping itu pun terlepas ke tangan orang. Selama ini pun saya macam nak sasau tengok sebidang demi sebidang tanah orang-orang kita di bandar ni yang dibeli dengan macam-macam tipu helah.”

     Datuk Sukar berdiri.  “Jadi kau anggap aku juga cuba nak tipu kau?”

     Fuad menggeleng tenang.

                                                                                                        (Dipetik daripada cerpen Sebutir Pasir di Kaki
                                                                                      Karya  Norhisham Mustafa, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Mengapakah Fuad tidak mahu tanah ibunya diambil oleh Datuk Sukar untuk melaksanakan projek?      [3 markah]

(ii) Huraikan persoalan yang dibangkitkan oleh penulis dalam petikan di atas.          [4 markah]

(iii) Andaikan anda Datuk Sukar apakah yang akan anda lakukan supaya Fuad bersetuju tanah itu dimajukan? [3 markah]

 
(a) Petikan Prosa Klasik

Baca petikan cerita di bawah dengan teliti. Kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan sendiri.

  Pada suatu riwayat, daripada deras lompat todak itu, datang ke atas gajah, kena baju Paduka Seri Maharaja, carik lengannya maka dibuatkan orang nyanyi.

      Carik baju raja,
      Dilompati todak;
      Bukan sahaja,
      Sebab akal budak.

  Setelah itu maka Paduka Seri Maharaja pun kembali. Maka sembah orang besar-besar, “Tuanku, budak ini terlalu sekali besar akalnya. Sedang ia budak lagi demikian, jikalau ia besar berapa lagi banyak akalnya? Baiklah ia kita bunuh.”

                                                                          (Dipetik daripada Sejarah Melayu terbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.)
 
(i) Siapakah Paduka Seri Maharaja? Mengapakah Paduka Seri Maharaja menjatuhi kanak-kanak itu hukuman bunuh?

[4 markah]

(ii) Jika anda sebagai Paduka Seri Maharaja, jelaskan tindakan yang akan anda ambil terhadap pembesar-pembesar yang suka menghasut?                                [4 markah]
 

 (d) Petikan Puisi

Baca gurindam di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan berikutnya dengan perkataan sendiri.

GURINDAM MEMELIHARA ANGGOTA DAN HATI DARIPADA KEJAHATAN

   Apabila terpelihara mata
   Sedikit cita-cita

Apabila terpelihara kuping
Khabar yang jahat tidaklah didamping

Apabila terpelihara lidah
Nescaya dapat daripadanya faedah

Bersungguh-sungguh engkau memelihara tangan
Daripada segala berat dan ringan

Hati itu kerajaan di dalam tubuh
Jikalau zalim segala anggota pun roboh

Apabila dengki sudah bertanah
Datanglah daripadanya beberapa anak panah

Mengumpat dan memuji hendaklah berfikir
Di situlah banyak orang tergelincir

Pekerjaan marah jangan dibela
Nanti hilang akal di kepala

Jika sedikit pun berbuat bohong
Boleh diumpamakan mulutnya itu pekung

                          RAJA ALI HAJI

(i) Mengapakah hati dianggap sebagai kerajaan di dalam tubuh?      [3 markah]

(ii) Nyatakan pengajaran-pengajaran yang boleh didapati daripada gurindam di atas.   [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda bagaimanakah cara untuk memelihara hati daripada kejahatan?       [3 markah]
 
 

Soalan 4 : Novel
[15 markah]


Jawapan mestilah berdasarkan satu daripada novel-novel berikut :

(i) Terminal Tiga karya Othman Puteh
(ii) Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj. Yusuf
(iii) Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said
(iv) Bukit Kepong karya Ismail Johari
(v) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain
(vi) Seteguh Karang karya Tuan Fatimah Syed Abdullah
(vii) Julia karya Abu Hassan Morad
(viii) Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj. Muhammad
 

(a) Setiap novel mempunyai pengajaran yang hendak disampaikan kepada pembaca. Huraikan empat pengajaran yang terdapat dalam novel yang anda pelajari.             [8 markah]

(b) Umumnya pengarang akan memilih pelbagai latar dalam penulisan mereka. Huraikan latar masyarakat yang dipaparkan melalui novel yang telah anda pelajari.        [7 markah]

 KERTAS SOALAN TAMAT