DATUK DR. SHEIKH MUSZAPHAR SHUKOR DATUK DR. SHEIKH MUSZAPHAR SHUKOR

Kandungan Jurnal Kandungan Jurnal

 

Mengimbau kembali saat-saat kejayaan Malaysia melahirkan angkasawan Negara pada tahun 2007 pasti mengundang kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Buat pertama kalinya angkasawan Malaysia berjaya menjejakkan kaki di ruang angkasaraya. Suatu kejayaan besar buat Malaysia tercipta. Namun kisah disebalik kejayaan ini adalah hasil usaha kerajaan Malaysia dan ketekunan daripada seorang insan yang bernama Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Lebih daripada 11,000 permohonan secara online, kemudian 435 orang meneruskan impian di saringan pertama, hanya 199 yang layak. Saringan kedua pula iaitu Pemeriksaan Perubatan Asas berdasarkan Syarat Program NASA termasuk pemeriksaan mata dan ujian air kencing - 194 diuji hanya 59 yang lulus. Akhirnya setelah mengharungi pelbagai saringan Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor diumumkan oleh Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi Perdana Menteri pada ketika itu sebagai angkasawan pertama Negara.

Menaiki Soyuz TMA-11 ke angkasa, anak kelahiran Kuala Lumpur ini telah menjalankan eksperimen berkaitan sel-sel kanser hati, sel-sel leukemia dan eksperimen melibatkan mikrob serta penghabluran protein, melibatkan enzim lipases ketika dia berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

"SAYA menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar dari 1985 hingga 1989 dan pelbagai memori manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang tempoh 5 tahun belajar di sekolah asrama penuh itu. Segala didikan dan amalan dipelajari di sekolah berkenaan. Di situlah saya mempelajari hidup berkeluarga tidak mengira pangkat mahupun kekayaan. Setiap pelajar dianggap sama rata dan kami sering bantu membantu di antara satu sama lain untuk mengejar impian hidup. Sebagai alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), saya dapati MRSM mempunyai sistem pendidikan yang unik dan perlu dibanggakan apabila berjaya melahirkan golongan bijak pandai di kalangan pelajar luar bandar. Syabas kepada MARA (Majlis Amanah Rakyat) terhadap usaha mereka yang kini membuahkan kejayaan." ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Sains MARA Muar ini dalam sebuah wawancara.

Anak ketiga daripada lima beradik ini juga berjaya menamatkan pelajarannya di Kolej Perubatan Kastuba, Manipal, India dan bergelar doktor bedah ortopedik serta pensyarah perubatan pelatih di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Beliau telah berkahwin dengan Datin Dr. Halina Mohd Yunos dan dikurniakan dua orang cahaya mata.