TAN SRI ARSHAD AYUB TAN SRI ARSHAD AYUB

Kandungan Jurnal Kandungan Jurnal

 

Tan Sri Arshad Ayub memang tidak dapat dipisahkan dengan sejarah penubuhan MARA. Ini kerana beliau bukan sahaja merupakan pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM) sejak tahun 1967 sehinnga 1975, malah menjadi pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di MARA ketika dekad awal penubuhannya. Ketika itu, ITM diletakkan di bawah kendalian Bahagian Latihan MARA.

Dikenali sebagai pengarah yang tegas dan berkarisma tinggi, Arshad amat digeruni oleh para pelajar ITM ketika itu kerana beliau sering turun ke tempat penginapan pelajar pada sebelah malam bagi meninjau kegiatan mereka.

Mencecah usia 85 tahun, beliau melakukan semua itu kerana sayangkan anak-anak Bumiputera dan mahu mereka lulus peperiksaan dengan cemerlang dan seterusnya berjaya dalam bidang yang diceburi.

"Berasal dari keluarga yang miskin, saya menyedari betapa pentingnya anak-anak Melayu mempunyai kelulusan dan kelayakan sewajarnya untuk melibatkan diri dalam bidang profesional yang masih kurang diceburi Bumiputera.

  

Tan Sri Arshad Ayub

"Kebanyakan anak Bumiputera dari luar bandar lambat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling, justeru projek memajukan diri turut terjejas ekoran daripada perasaan rendah diri kerana dihimpit pelbagai kekurangan akibat daripada kemiskinan," tegas Arshad yang ditemui di ZA Studio, Sungai Penchala baru-baru ini.

Beliau percaya, sebagai seorang Bumiputera dan warganegara Malaysia, seseorang itu perlu mempunyai tanggungjawab sosial serta melaksanakan tugas dengan taat, amanah, berintergriti dan seterusnya mempunyai tubuh badan yang sihat.

Beliau kini selaku Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) menasihat pelajar supaya mempunyai disiplin dalam bidang kerohanian, akademik dan fizikal kerana kesemua itu menjadi asas kepada kejayaan dalam kehidupan seseorang.

Arshad yang juga penerima Anugerah Tokoh RIDAMARA sempena Sambutan Jubli Emasnya pada tahun 2000, memberitahu, nama MARA tidak boleh dipisahkan walaupun ITM telah menjadi universiti (UiTM) kerana sumbangan MARA terlalu banyak kepada pembangunan dan kemajuan anak Bumiputera sehingga hari ini.

Ditanya mengenai peranan MARA memajukan ITM, Arshad menegaskan, barisan kepimpinan kedua-dua pihak ketika itu mempunyai wawasan yang jauh untuk membantu pelajar Bumiputera mengisi peluang-peluang pekerjaan dalam sektor swasta. MARA menjadi pemangkin kepada usaha tersebut menerusi kursus-kursus yang ditawarkan kepada pelajar ITM.

Katanya, ITM mengadakan sesi wawancara bagi menentukan setiap pelajar benar-benar mempunyai kemampuan selain minat yang mendalam sebelum dipilih mengikuti sesuatu kursus yang sesuai dengan keperluan industri ketika itu.

Selain itu, kata Arshad beliau juga mempunyai jaringan kerja dan perhubungan yang baik dengan Unit perancang ekonomi (EPU) universiti-universiti tempatan dan luar negara serta syarikat-syarikat besar seperti Guthrie dan Sime Darby di samping hotel-hotel terkemuka bagi menempatkan pelajar melakukan latihan amali selain mendapat kemudahan untuk pelajar ITM.

Strategi ini katanya, amat berjaya dalam mengisi peluang-peluang pekerjaan dalam sektor swasta di samping menggalakkan mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di samping bahasa-bahasa lain yang mereka pelajari di ITM.

Sehubungan itu, Arshad berharap MARA dapat berperanan selaras dengan keadaan semasa dalam membantu kaum Bumiputera sama ada dalam bidang pendidikan mahupun perniagaan.
 

TAN SRI ARSHAD AYUB
Pro-Canselor UiTM