UNIT PENYELIDIKAN DAN INOVASI UNIT PENYELIDIKAN DAN INOVASI

Kandungan Jurnal Kandungan Jurnal

 

Unit Penyelidikan Dan Inovasi (UNI) ditubuhkan bertujuan untuk meneraju bidang penyelidikan dan inovasi MARA.  Objektif ini selari dengan usaha untuk merealisasikan Kerangka Transformasi Strategik  MARA 2011 -2020.  Sejajar dengan hasrat  ini, UNI berfungsi untuk mewujudkan satu ekosistem  yang mampu menggalakkan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga MARA.  Perancangan ini mampu dicapai melalui empat aktiviti utama iaitu  Meningkatkan Keupayaan  Penyelidikan Dan Penerbitan Berteraskan Inovasi, Melonjakkan Projek Inovasi MARA, Menguruskan Harta Intelek Dan Pengkomersilan serta berkomunikasi dengan intensif dengan warga MARA melalui Saluran Komunikasi UNI.

Penyelidikan dan penerbitan yang dijalankan adalah berteraskan inovasi.  Panel penyelidik dalam dan luar MARA yang terpilih serta memenuhi kriteria yang ditetapkan akan ditawarkan  Skim Geran Penyelidikan MARA (SGPM).  Penerbitan jurnal pula akan dilonjakkan ke taraf antarabangsa dengan penerbitan MARA International Journal (MIJ) bagi menyebar dan berkongsi maklumat berkaitan penyelidikan.  Kesemua aktiviti ini berupaya mencetuskan idea baharu yang inovatif  dalam empat bidang  utama MARA iaitu keusahawanan, modal insan, pelaburan dan organisasi.

Lonjakan inovasi dalam MARA dimulai dengan pemantauan tiga projek Strategi Lautan Biru iaitu FITEC, Kenderaan Bas MARA dan Kompleks Perniagaan MARA.  UNI seterusnya menubuhkan Komiti Pemacu Inovasi MARA (KPIM) untuk menyelaras dan memantau projek-projek inovasi yang dicetus dan dijalankan oleh bahagian-bahagian dalam MARA.  Pembentukan KPIM akan menyubur dan menerapkan budaya inovasi sebagai norma kerja dalam kalangan warga MARA. Aktiviti "Creative Talk" dan "Best Idea of the Month"  diwujudkan untuk membudayakan pemikiran kreatif dan inovatif.  Kesemua aktiviti ini mampu melonjakkan lagi tahap transformasi MARA.

Melalui pengurusan Harta Intelek Dan Pengkomersilan, UNI sedang membangunkan satu dasar Harta Intelek MARA serta dasar dan proses pengkomersilan untuk melindungi dan memelihara hasil kreativiti dan inovasi warga MARA.  UNI juga akan menyelaras dan menganjurkan pertandingan berbentuk inovasi serta mendokumentasikan semua aktiviti berkaitan inovasi dan pengkomersilan.  Jaringan kerjasama strategik 3i (industrial, institutional dan international) dibina dengan badan-badan yang berkaitan bagi menjayakan proses pengkomersilan idea, produk atau pengurusan strategik baru yang inovatif. Kesemua proses ini akan menjadi platform untuk menjana kekayaan baru kepada MARA.

Saluran Komunikasi UNI akan diperkasakan untuk berkongsi maklumat berkaitan penyelidikan dan inovasi secara meluas  dengan warga MARA. Untuk mencapai hasrat ini, UNI akan mewujudkan satu portal bagi menyebarkan maklumat berkaitan UNI seperti Skim Geran Penyelidikan MARA, hasil penyelidikan, kejayaan warga MARA dan perkara-perkara lain berkaitan inovasi.  Hasil kerja inovasi warga MARA yang memasuki pertandingan juga akan didokumen dan disebarkan kepada pihak yang berkepentingan.  Dengan penyebaran maklumat secara meluas, kesedaran berinovasi dapat dipertingkatkan ketahap pembudayaan inovasi dalam kalangan warga MARA.

Kesemua perancangan UNI dibina berlandaskan visi  MARA untuk membangunkan sebuah organisasi amanah yang unggul dan diberkati berteraskan inovasi.