WAN MOHD. HAFIZ WAN RAZALI WAN MOHD. HAFIZ WAN RAZALI

Kandungan Jurnal Kandungan Jurnal

 

"Di Harvard University, saya diajar untuk mengajukan banyak pertanyaan kerana hanya dengan cara itu saya boleh memajukan diri dan setanding dengan pelajar-pelajar lain."

"Para pelajar keseluruhannya proaktif dan saya amat mengagumi kemampuan mereka khusus sewaktu melakukan perbincangan mengenai hasil penyelidikan masing-masing," kata Wan Mohd. Hafiz Wan Razali.

Wan Hafiz adalah satu-satunya pelajar pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perubatan dan pembedahan (MBBS) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang ditawarkan melakukan projek penyelidikan di Brigham & Women's Hospital bertempat di Sekolah Perubatan Harvard, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Menurut Hafiz, dia menjalankan projek penyelidikan genetik mengenai lysine demethylase specific-1 (LSD) in salt sensitivity hypertension.

HAFIZ bersama-sama penyelianya ketika melakukan penyelidikan di Harvard University, Amerika Syarikat.

Katanya, di Universiti Harvard dia menghadiri kelas dan mengambil beberapa peperiksaan bagi memastikan dia benar-benar mampu melakukan penyelidikan dengan berkesan.

"Walaupun soalan-soalannya sukar dijawab, tetapi saya percaya hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih dan Alhamdulillah saya lulus," kata Hafiz pada Utusan Malaysia.

Menurut Hafiz, di Universiti Harvard dia berpeluang menghadiri kelas dan konferen di Sekolah Perniagaan Harvard dan Sekolah Kesihatan Awam untuk meningkatkan ilmu pengetahuannya.

"Peluang datang hanya sekali dan kerana itu saya perlu mengambil sebanyak yang mungkin agar perjalanan saya ke Amerika Syarikat berbaloi dengan apa yang dilaburkan oleh MARA kepada saya," tegas Hafiz yang kini menjalankan posting di Hospital Sungai Buloh.

Sebagai membalas budi pihak MARA yang membiayai pelajarannya sehingga melanjutkan pengajian di UiTM, Hafiz kini bergiat aktif sebagai Presiden Persatuan Alumni MRSM Kuala Krai, Kelantan.


WAN MOHD. HAFIZ WAN RAZALI
Presiden MRSM Kuala Krai Alumni