Skip to Content

BANGUNAN MARA BANGUNAN MARA

Kandungan Jurnal Kandungan Jurnal

 

Bangunan MARA

Bangunan MARA tersergam di tengah-tengah Bandar Raya Kuala Lumpur, bersempadankan dua jalan raya yang amat sibuk iaitu Jalan Raja Laut di hadapan dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sebelah belakangnya. Ia telah dibuka secara rasmi oleh YAB Dato' Seri Dr Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia 12 April 1987.

Kompleks Bangunan

Kompleks ini mengandungi empat tingkat blok podium, 22 tingkat blok menara dan tiga tingkat basement. Blok podium Medan MARA ini mengandungi 165 lot ruang niaga dengan keluasan keseluruhannya sebanyak 150 ribu kaki persegi. Salah satu ciri utama blok podium ini ialah dua pintu masuk utama berhadapan Kompleks Pertama dan Jalan Raja Laut.

Blok menara dengan bentuk yang istimewa ini menyediakan ruang pejabat seluas 200,000 kaki persegi. Bangunan setinggi 26 tingkat ini dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan yang serba baru. Tingkap yang terdapat di keempat-empat penjurunya, menyediakan panorama kota yang indah. Ruang letak kereta bawah tanah Medan MARA boleh menempatkan sebanyak 373 buah kereta. Di tingkat pertamanya pula disediakan ruang niaga seluas 22,000 kaki persegi sesuai untuk pembinaan sebuah pasar raya.

 

Konsep Rekaan

Konsep rekaan

Ilham pembinaan bangunan ini tercetus dari tujuan untuk mewujudkan satu identiti dan imej tersendiri yang mengambarkan kekayaan kebudayaan Melayu. Blok podium yang berbentuk perahu melambangkan semangat pengembaraan dan penerokaan pengetahuan serta keinginan untuk mengejar kemajuan. Konsep ini mencerminkan budi pekerti masyarakat Melayu yang sentiasa bersedia untuk meneroka bidang-bidang baru demi kemajuan bangsa. Mural bangunan melambangkan pembangunan, kemajuan dan perkembangan sosio-ekonomi anak-anak bangsa.

Motif pucuk rebung

Motif pucuk rebung dan awan larat yang digunakan diilhamkan daripada motif tingkap Masjid Sultan Mehmet, Istanbul, Turki dan ukiran kayu Istana bandar Tinggi, Negeri Sembilan. Kedua-dua ukiran ini disatukan untuk membentuk motif pinggiran kain songket, seni tradisi orang-orang Melayu. Motif ini juga disulamkan dengan rupa-rupa anyaman mengkuang sejajar dengan resmi masyarakat turun-temurun menggunakan tikar sebagai tempat bermesyuarat, berbincang dan merancang ke arah kemajuan. Konsep reka bentuk Bangunan MARA ini rata-rata melambangkan identiti senibina Melayu di Malaysia.