685 GRADUAN GMI BUKTI TVET PILIHAN MASA DEPAN

mara

KAJANG, 31 Oktober 2026 – Peningkatan jumlah graduan German-Malaysian Institute (GMI) daripada 384 orang pada tahun lalu kepada 685 orang tahun ini memperlihatkan perkembangan positif institusi TVET berkenaan dalam melahirkan lebih ramai tenaga mahir bagi memenuhi keperluan industri negara.

Menurut Tuan Haji Ahmad Solihin Mohamed Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan GMI, peningkatan itu merupakan pencapaian membanggakan berbanding purata 350 graduan bagi setiap kohort sepanjang sedekad lalu. GMI juga secara konsisten mencatat kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 98 peratus, sekali gus mencerminkan keberkesanan strategi akademik dan kurikulum yang dilaksanakan.

Pencapaian akademik kohort tahun ini turut membanggakan apabila 92 peratus graduan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) melebihi 3.00, manakala 51 peratus mencatat PNGK melebihi 3.50. Malah, seorang graduan berjaya mengekalkan PNGK sempurna 4.00 sepanjang enam semester pengajian.

Antara graduan yang mencatat pencapaian cemerlang ialah Muhammad Safry Mohd Shahuri, penerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan GMI 2026 yang kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Kejayaan beliau membuktikan bahawa ilmu dan kemahiran yang diperoleh di GMI bukan sahaja menyediakan graduan untuk alam pekerjaan, malah menjadi asas kukuh untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, YB Datuk Hajah Rubiah Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam ucapannya menegaskan bahawa TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya pemacu utama pertumbuhan ekonomi mampan yang berperanan melahirkan bakat tempatan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri serta mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing.

Beliau turut menekankan bahawa ekosistem pendidikan TVET MARA termasuk GMI menyediakan laluan kerjaya yang progresif dan fleksibel, selain membuka peluang kepada graduan untuk menyumbang kepakaran dalam sektor industri berpertumbuhan dan bernilai tinggi.

Kejayaan ini turut didorong oleh kerjasama strategik GMI dengan syarikat tempatan dan antarabangsa yang menyediakan peluang latihan industri serta pendedahan kepada teknologi terkini, termasuk di Jerman, Finland, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu.

Seramai 685 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen GMI Ke-32 yang berlangsung di Dewan Feisol Hassan, GMI, sekali gus memperlihatkan keberkesanan ekosistem pendidikan MARA dalam melahirkan graduan berdaya saing, membuka peluang mobiliti pendidikan dan kerjaya serta menyediakan bakat teknikal yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Oleh: Nurin MI