𝗜𝗠𝗔𝗦 𝗗𝗜𝗦𝗔𝗦𝗔𝗥 𝗚𝗢-𝗟𝗜𝗩𝗘 𝟯𝟬 𝗗𝗜𝗦𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟲
KUALA LUMPUR, 19 Februari 2026 – Sistem Integrated MARA Accounting System (IMAS) disasarkan untuk Go-Live pada 30 Disember 2026, menandakan langkah penting dalam usaha MARA memperkemas pengurusan kewangan, meningkatkan kecekapan operasi serta mengukuhkan tadbir urus organisasi.
Sebagai persediaan ke arah sasaran tersebut, Cawangan ERP, Bahagian Kewangan MARA menganjurkan IMAS Performance & Forward Alignment Session pada 6 Februari 2026 lalu yang memberi tumpuan kepada semakan kemajuan projek, penyelarasan keutamaan kerja serta penetapan tindakan susulan bagi fasa pembangunan seterusnya.
Sesi itu menjadi platform bagi pasukan projek menilai status semasa pelaksanaan, mengenal pasti cabaran operasi dan teknikal, serta memperincikan langkah penambahbaikan bagi memastikan pembangunan sistem bergerak mengikut garis masa yang ditetapkan.
IMAS merupakan fasa pertama daripada tiga fasa pembangunan Sistem ERP baharu MARA. Sistem ini bakal menggantikan sistem legasi kewangan yang telah digunakan sejak tahun 1983. Pelaksanaannya dijangka membawa peningkatan dari segi kecekapan proses kerja, integrasi data serta keupayaan analitik kewangan yang lebih menyeluruh.
Pembentangan oleh Pegawai Project Management Office (PMO), Puan Che Maznah bt Hamid, menggariskan perkembangan terkini projek termasuk fokus kerja, mekanisme pemantauan dan penyelarasan merentas pasukan bagi menyokong kelancaran pelaksanaan.
Program tersebut menghimpunkan seramai 73 ahli pasukan projek yang terdiri daripada Subject Matter Expert (SME) MARA, KPMG Management Risk Consulting Sdn. Bhd. selaku perunding projek, serta Software Wizards (M) Sdn. Bhd. sebagai vendor sistem.
Majlis perasmian sesi telah disempurnakan oleh Dr. Azmi bin Amat Murjan, Pengarah Kanan Pelaburan MARA merangkap Pengarah Projek IMAS.
By Hamli, 19 Februari 2026



