𝗕𝗔𝗞𝗔𝗧 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗦𝗜𝗔 𝗕𝗔𝗞𝗔𝗟 𝗗𝗜𝗟𝗔𝗧𝗜𝗛 𝗢𝗟𝗘𝗛 𝗣𝗔𝗞𝗔𝗥 𝗚𝗟𝗢𝗕𝗔𝗟 𝗜𝗡𝗗𝗜𝗔, 𝗕𝗨𝗞𝗔 𝗟𝗘𝗕𝗜𝗛 𝗕𝗔𝗡𝗬𝗔𝗞 𝗣𝗘𝗟𝗨𝗔𝗡𝗚 𝗞𝗘𝗥𝗝𝗔 & 𝗞𝗘𝗨𝗦𝗔𝗛𝗔𝗪𝗔𝗡𝗔𝗡

bakat-malaysia

NEW DELHI, INDIA , 27 Januari 2026 Lebih ramai belia dan tenaga kerja Malaysia dijangka mendapat akses kepada latihan bertaraf antarabangsa, kos lebih rendah dan berorientasikan pasaran global susulan usaha MARA memperluas kerjasama strategik dengan institusi pembangunan keusahawanan terkemuka di India.

Ini diterjemahkan melalui Lawatan Kerja Rasmi Timbalan Ketua Pengarah MARA, Encik Zahari Aziz ke India dari 26 hingga 30 Januari 2026 bersempena penglibatan MARA dengan Entrepreneurship Development Institute of India (EDII).

Dalam rangka lawatan tersebut, beliau turut mengadakan kunjungan hormat ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi pada 27 Januari 2026 yang bertujuan memperluas hubungan dua hala antara Malaysia dan India, khususnya dalam meneroka peluang kerjasama strategik berkaitan pembangunan bakat keusahawanan termasuk pelaksanaan program latihan ‘master trainer’.

Dalam pertemuan ini, Pesuruhjaya Tinggi Dato’ Muzafar Shah Mustafa turut berkongsi pandangan mengenai peluang pendidikan di India untuk pelajar Malaysia, terutamanya dalam bidang berimpak tinggi, di samping maklumat berkaitan program dan inisiatif pendidikan yang sedang dilaksanakan.

Inisiatif ini menandakan langkah strategik MARA dalam memperluas kerjasama antarabangsa bagi membuka akses kepada latihan berkualiti tinggi, kos lebih berpatutan dan berorientasikan pasaran global. Usaha ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia–India, malah dijangka memberi nilai tambah ketara kepada pembangunan bakat keusahawanan serta kebolehpasaran belia dan tenaga kerja Malaysia di peringkat antarabangsa.