𝗠𝗔π—₯𝗔 π—§π—˜π—₯π—”π—π—¨π—œ 𝗧π—₯𝗔𝗑𝗦𝗙𝗒π—₯π— π—”π—¦π—œ π—§π—©π—˜π—§ π—‘π—˜π—šπ—”π—₯𝗔 π— π—˜π—Ÿπ—”π—Ÿπ—¨π—œ π—£π—˜π—‘π—π—˜π—‘π—”π— π—”π—”π—‘ π—§π—©π—˜π—§π— π—”π—₯𝗔 𝗗𝗔𝗑 π—£π—˜π—‘π—¨π—•π—¨π—›π—”π—‘ π—‘π—˜π—¦π—§

SEBERANG PERAI UTARA, 27 Januari 2026 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan peranannya sebagai peneraju utama agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara menerusi pelancaran penjenamaan baharu TVETMARA, yang menyatukan keseluruhan ekosistem institusi TVET di bawah MARA secara lebih tersusun, bersepadu dan berpaksikan keperluan pembangunan ekonomi serta industri masa hadapan. Penjenamaan ini selari dengan dasar nasional dalam menjadikan TVET sebagai pemacu penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan penyokong daya saing ekonomi negara.

Majlis peluncuran yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menandakan peralihan pendekatan TVETMARA ke arah model pembangunan bakat yang menumpukan penguasaan teknologi terkini, penyelarasan program pengajian, penglibatan industri secara langsung serta pembentukan nilai profesional dan integriti.

Penjenamaan TVETMARA melibatkan 25 institusi TVET di bawah MARA dan berfungsi sebagai kerangka dasar bagi meningkatkan keterlihatan institusi, kebolehpasaran graduan serta keupayaan MARA bertindak balas secara tangkas terhadap keperluan industri semasa dan masa hadapanοΏΌ.

Seiring pelaksanaan penjenamaan tersebut, MARA turut melaksanakan agenda strategik sektor tenaga melalui penubuhan National Electrical Energy Specialist Academy (NEST) di TVETMARA Seberang Perai Utara, berteraskan kekuatan lokasi dan ekosistem industri. Inisiatif ini disokong oleh Pelan Transformasi TVETMARA Seberang Perai Utara 2025 hingga 2035 yang merangkumi pembangunan pendidikan dan latihan berimpak tinggi, pensijilan profesional, inovasi, teknousahawan elektrik Bumiputera serta perkhidmatan kejuruteraan. Pelancaran serentak TVETMARA dan NEST mencerminkan pendekatan dasar MARA yang holistik dan bersepadu dalam membangunkan ekosistem TVET negara, bersempena pra sambutan Hari MARA ke 60 sebagai kesinambungan peranan MARA sejak 1968 dalam melahirkan modal insan strategik negara.