𝗠𝗔𝗝𝗟𝗜𝗦 𝗞𝗢𝗡𝗩𝗢𝗞𝗘𝗦𝗬𝗘𝗡 𝗞𝗘-𝟯 𝗨𝗣𝗧𝗠: 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗘𝗥𝗨𝗦𝗜 𝗠𝗔𝗥𝗔 𝗧𝗘𝗞𝗔𝗡𝗞𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗨𝗔𝗦𝗔𝗔𝗡 𝗧𝗘𝗞𝗡𝗢𝗟𝗢𝗚𝗜 𝗔𝗜 𝗗𝗔𝗡 𝗜𝗡𝗧𝗘𝗚𝗥𝗜𝗧𝗜 𝗚𝗥𝗔𝗗𝗨𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗠𝗘𝗡𝗗𝗘𝗣𝗔𝗡𝗜 𝗖𝗔𝗕𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗚𝗟𝗢𝗕𝗔𝗟
KUALA LUMPUR, 18 Disember 2025 – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) hari ini meraikan kejayaan para graduan dalam Majlis Konvokesyen Ke-3 bagi Sidang 2 yang berlangsung di World Trade Centre (WTC). Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) merangkap Pro-Canselor UPTM.
Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan kepentingan penguasaan literasi digital, pemikiran analitik, serta ketahanan emosi bagi mendepani arus teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang kini mentransformasikan landskap kerjaya masa hadapan. Beliau turut mengingatkan para graduan agar sentiasa memelihara nilai kemanusiaan dan integriti sebagai teras utama dalam memberikan khidmat kepada nusa dan bangsa.
Majlis istiadat konvokesyen pada sesi petang ini menyaksikan penyampaian skrol bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Diploma. Secara keseluruhan, seramai 2,075 graduan telah berjaya menamatkan pengajian mereka di UPTM bagi tahun ini. MARA menyokong penuh pencapaian tersebut melalui penyediaan pinjaman pelajaran bagi memastikan akses pendidikan tinggi yang berkualiti terus terbuka luas kepada anak bangsa di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Selain itu, penyelarasan jenama UPTM sedang dilaksanakan secara meluas bagi menjamin kelestarian ekosistem akademik serta memantapkan jaringan industri yang sedia ada.



