MARA 60 Tahun
Kini genaplah enam dekad berlalu. Dalam tempoh yang panjang itu, MARA berkembang mekar menjadi institusi unggul bertaraf dunia. Dari ruang kuliah yang sederhana hingga ke pusat inovasi yang canggih, dari desa terpencil hingga ke pentas antarabangsa, jejak langkah MARA terpahat megah dalam lembaran pembangunan negara. Ia tidak sekadar menunaikan mandat yang diamanahkan, bahkan mencipta legasi yang diwariskan daripada satu generasi ke satu generasi.
Maka terzahirlah logo MARA 60 Tahun, sebuah angka yang bukan sekadar bilangan tetapi lambang perjalanan kegemilangan daripada akar sejarah yang kukuh hingga ke pengukuhan peranan MARA dalam membentuk masa depan bangsa yang gemilang. Di sebalik angka itu terhimpun usaha, pengorbanan, serta keringat warga yang setia menjunjung amanah selama enam dekad, sehingga nama MARA masyhur di persada dunia. MARA bukan hanya sebuah institusi.
MARA ialah suara harapan yang tidak pernah sepi. MARA ialah tiang kekuatan yang tidak pernah rapuh. MARA ialah amanah yang terus dijunjung, bukan sekadar dipikul, dipelihara bukan sekadar dilafazkan demi agama, bangsa dan negara, selagi hayat dikandung badan.
Dalam lipatan sejarah pembangunan negara, tersulam sebuah hikayat yang terbit rasa tanggungjawab dan amanah untuk membela nasib bangsa dan kemajuan di bumi pertiwi. Tatkala bara nasionalisme menyala marak di dada anak watan, suara bumiputera bergema lantang menuntut keadilan dan peluang yang saksama dalam arus perubahan zaman.
Tanggal 1 Mac 1966, lahirlah Majlis Amanah Rakyat (MARA), sebuah nama keramat yang menjadi lambang era baharu, sebuah badan berkanun yang termaktub di bawah Akta Parlimen, hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama tahun 1965. MARA, era baharu yang meneruskan amanah perjuangan dan mandat bagi memaju, menggalak serta melaksanakan pembangunan sosioekonomi dan kemasyarakatan, khususnya di wilayah luar bandar yang sekian lama mendambakan pembelaan.





















