MEMPERKASA PENGURUSAN ASET MARA MELALUI KERJASAMA JKPTG
KUALA LUMPUR, 25 OGOS 2026 – Tanah dan aset sedia ada MARA dilihat mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan sebagai aset strategik yang mampu menjana nilai tambah kepada organisasi, di samping menyokong pembangunan sosioekonomi Bumiputera.
Perkara itu antara yang dibincangkan dalam kunjung hormat Dr. Azmi bin Amat Murjan, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) MARA yang mengetuai delegasi terdiri daripada barisan pengurusan kanan MARA, kepada YBhg. Dato’ Haji Mohd Fauzi bin Haji Mohd Yatim, Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, semalam.
Perbincangan bersama Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) memberi ruang kepada MARA untuk melihat potensi tanah miliknya secara lebih menyeluruh, termasuk berdasarkan lokasi, fungsi, penggunaan semasa dan prospek pembangunan.
Pendekatan berkenaan menekankan bahawa tanah tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai aset yang dimiliki dan diselenggara, sebaliknya perlu diaktifkan nilainya melalui penggunaan yang lebih optimum dan produktif.
Antara pendekatan yang boleh diteroka termasuk pembangunan semula, pengoptimuman penggunaan tanah serta kerjasama strategik yang bersesuaian dengan potensi dan keperluan sesuatu aset.
Langkah ini selaras dengan pendekatan MARA ke arah asset optimisation, iaitu memastikan setiap aset yang dimiliki mempunyai fungsi, nilai dan impak yang jelas, bukan sekadar berada dalam pegangan organisasi.
Pengurusan aset secara lebih strategik berpotensi menjadikan tanah milik
MARA sebagai pemangkin kepada penciptaan nilai ekonomi, kelestarian organisasi dan pembukaan peluang baharu yang memberi manfaat kepada pembangunan Bumiputera.
Oleh: shafiz hamzah



