Bukan Sekadar Melahirkan Usahawan Tetapi Membina Pemain Industri
ALOR SETAR, 27 Ogos 2026 – Agenda keusahawanan Bumiputera perlu melangkah lebih jauh daripada sekadar melahirkan usahawan, sebaliknya membina syarikat yang berdaya tahan, berskala dan mampu menjadi pemain serta peneraju industri.
Mesej ini menjadi antara penekanan YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin
Dato’ Dusuki, Pengerusi MARA menerusi keynote address pada Konvensyen Usahawan Bumiputera (KUB) 2035 di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar.
Menurut beliau, ekosistem MARA perlu menjadi landasan untuk usahawan bermula, membina kapasiti, berkembang dan akhirnya berdiri dengan kekuatan sendiri. Captive market pula perlu dimanfaatkan sebagai ruang membina pengalaman dan kapasiti, sebelum usahawan digerakkan melalui mekanisme graduasi untuk menembusi pasaran GLC, korporat dan pasaran terbuka.
Dalam masa yang sama, pembangunan usahawan perlu beralih kepada sektor bernilai tambah dan berpotensi besar. Menerusi Program Pembangunan Usahawan Profesional (PROSPEC), syarikat Bumiputera diberi ruang memperkukuh kapasiti dan meneroka bidang strategik, termasuk sektor kesihatan dengan aspirasi melahirkan pemain Bumiputera yang berkeupayaan membangunkan aset dan ekosistem sendiri sehingga mampu mewujudkan
Hospital MARA.
Inilah anjakan yang perlu berlaku- daripada penerima peluang kepada pencipta peluang; daripada peserta pasaran kepada pemilik dan penguasa rantaian nilai.
KUB 2035 membawa aspirasi untuk membina ekosistem yang bukan sahaja melahirkan lebih ramai usahawan, tetapi syarikat Bumiputera yang mampu membesar, menguasai pasaran dan menjadi peneraju industri.
Kerana kejayaan bukan sekadar berapa ramai usahawan yang kita lahirkan, tetapi sejah mana mereka mampu berkembang, mencipta peluang dan membina pemilikan dalam ekonomi negara.
Oleh: shafiz hamzah



