MARA PACU KERJASAMA MALAYSIA-TURKIYE BERSAMA UNIVERSITI-UNIVERSITI TERNAMA DI ISTANBUL FOKUS KEPADA PEMBANGUNAN BAKAT GLOBAL DAN INDUSTRI STRATEGIK

mara

Istanbul, 26 Oktober 2026 – Lawatan kerja rasmi delegasi Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah membuka lembaran baharu dalam pemerkasaan pendidikan tinggi dan jaringan strategik global.

Sesi pada 23 Oktober lalu bermula menerusi perbincangan meja bulat di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul bersama Konsul, Puan Mardhiah Sabri.

Pertemuan ini memberi tumpuan khusus terhadap lanskap kos sara hidup terkini di Istanbul serta hala tuju penajaan berimpak tinggi yang mementingkan aspek kualiti berbanding kuantiti.

Penekanan turut diberikan kepada kebolehpasaran serta kemenjadian pelajar pasca pengajian, selain strategi pelaksanaan berfasa yang pragmatik memandangkan potensi Turkiye sebagai destinasi pengajian baharu yang serba dinamik.

Delegasi MARA seterusnya meneruskan sesi libat urus ke empat universiti terkemuka Turkiye iaitu Koc University, Istanbul Technical University (ITU), Yildiz Technical University (YTU), dan Sabanci University.

Perbincangan terperinci bersama pihak pengurusan tertinggi universiti berkenaan berjaya memeterai potensi kerjasama yang cukup utuh, merangkumi penajaan bersama, program mobiliti pelajar, artikulasi berkembar bersama Institusi Pendidikan Tinggi MARA (IPMA), serta pertukaran pensyarah.

Impak lawatan ini turut melimpah ke sektor penyelidikan strategik serta peluang latihan industri di Technology Park milik universiti-universiti bertaraf dunia tersebut, sekali gus membolehkan penanda arasan fasiliti moden diterapkan ke dalam ekosistem IPMA.

Misi rasmi ini diakhiri dengan sesi ramah mesra yang penuh bermakna bersama 17 orang pelajar tajaan MARA di Sabanci University yang baru sahaja memulakan pengajian pada 28 September 2026, disertai wakil Persatuan Pelajar Malaysia di Turkiye (MASAT).

Dalam pertemuan ini, para delegasi menyelami kebajikan serta adaptasi kehidupan mahasiswa, di samping menyuntik semangat agar mereka proaktif meneroka peluang penyelidikan dan latihan industri bersama institusi, industri dan komuniti tempatan.

Sebagai ‘duta kecil’ negara, para pelajar diingatkan agar sentiasa memelihara sahsiah dan imej Malaysia serta memanfaatkan peluang pengajian ini untuk memperkukuh hubungan bilateral antara Malaysia dan Turkiye di peringkat antarabangsa.

Oleh: nn