𝗠𝗔𝗥𝗔 𝗧𝗘𝗥𝗔𝗝𝗨𝗜 𝗧𝗥𝗔𝗡𝗦𝗙𝗢𝗥𝗠𝗔𝗦𝗜 𝗧𝗩𝗘𝗧 𝗡𝗘𝗚𝗔𝗥𝗔 𝗠𝗘𝗟𝗔𝗟𝗨𝗜 𝗣𝗘𝗡𝗝𝗘𝗡𝗔𝗠𝗔𝗔𝗡 𝗧𝗩𝗘𝗧𝗠𝗔𝗥𝗔 𝗗𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗡𝗨𝗕𝗨𝗛𝗔𝗡 𝗡𝗘𝗦𝗧

MARA

BANDAR PENAWAR, 4 Februari 2026 – Majlis Amanah Rakyat MARA hari ini melancarkan penjenamaan Kolej Profesional MARA Bandar Penawar sebagai Logistics Learning Provider yang berperanan sebagai hab pembangunan modal insan logistik negara berteraskan keperluan industri dan selari dengan agenda nasional. Majlis peluncuran tersebut telah disempurnakan oleh YBhg Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi bin Dato Dusuki, Pengerusi MARA, sekali gus menandakan hala tuju baharu institusi berkenaan dalam menyokong pertumbuhan sektor logistik sebagai pemacu ekonomi negara.

Penjenamaan Logistics Learning Provider ini mencerminkan pendekatan bersepadu MARA melalui tiga teras utama iaitu Networking, Knowledge dan Opportunity yang memfokuskan kepada jaringan industri, penguasaan ilmu serta kemahiran logistik secara teori dan praktikal, di samping penyediaan laluan kerjaya dan latihan industri kepada pelajar dan graduan. Inisiatif ini bertujuan memastikan kesiapsiagaan tenaga kerja masa hadapan selaras dengan keperluan industri logistik yang semakin berkembang di peringkat nasional dan serantau.

Beroperasi sejak Julai 2008, KPM Bandar Penawar kini diposisikan sebagai pusat kecemerlangan logistik MARA dengan penawaran program berasaskan industri termasuk Diploma in Integrated Logistics Management yang diiktiraf The Chartered Institute of Logistics and Transport dengan dwi pensijilan profesional, serta Diploma in Accounting bersama pensijilan antarabangsa. Sehingga kini, institusi ini menempatkan seramai 737 pelajar dan merekodkan 279 pelajar serta graduan berdaftar sebagai ahli profesional dalam bidang logistik sejak tahun 2021, sekali gus menyokong peningkatan kebolehpasaran graduan Bumiputera.