𝗠𝗔π—₯𝗔 π—Ÿπ—”π—›π—œπ—₯π—žπ—”π—‘ π—£π—˜π—šπ—”π—ͺπ—”π—œ π—žπ—’π— π—£π—˜π—§π—˜π—‘ π—§π—˜π—₯π—”π—π—¨π—œ π—£π—˜π—‘π—¦π—œπ—π—œπ—Ÿπ—”π—‘ π—›π—”π—Ÿπ—”π—Ÿ π—‘π—˜π—šπ—”π—₯𝗔

π—£π—˜π—‘π—¦π—œπ—π—œπ—Ÿπ—”π—‘ π—›π—”π—Ÿπ—”π—Ÿ π—‘π—˜π—šπ—”π—₯𝗔

KUALA LUMPUR, 6 Februari 2026 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah melaksanakan β€œHalal Executive Onboarding Programme” bagi melengkapkan pegawai bersijil Eksekutif Halal dan Audit Halal Dalaman dengan kemahiran praktikal sebelum digerakkan ke lapangan.

Program yang berkonsepkan latihan amali, bimbingan teknikal dan pendedahan kepada prosedur kerja sebenar Pensijilan Halal ini telah diadakan selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Februari 2026 di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur dengan penyertaan 47 pegawai MARA serta wakil agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) iaitu Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Lwmbaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).

Program ini bertujuan meningkatkan kompetensi pegawai dalam pengurusan audit, dokumentasi dan pematuhan standard halal secara menyeluruh.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah MARA, En. Zahari Aziz serta dihadiri Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), En. Iszam Padil. Menurut beliau, inisiatif ini menyokong peranan MARA dalam menerajui industri halal serta pelaksanaan Pelan Strategik MARA 2026–2030, selain membuka peluang kepada lebih ramai Pegawai MARA Daerah mengikuti Kursus Eksekutif Halal pada masa hadapan.

Penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen berterusan MARA dalam melahirkan pegawai yang kompeten, berpengetahuan dan bersedia menyokong pembangunan ekosistem industri halal negara.