𝗠𝗔𝗥𝗔 𝗕𝗨𝗞𝗔 𝗟𝗔𝗟𝗨𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗡𝗗𝗜𝗗𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗥𝗝𝗔𝗬𝗔 𝗛𝗨𝗙𝗙𝗔𝗭 𝗠𝗘𝗟𝗔𝗟𝗨𝗜 𝗞𝗘𝗥𝗝𝗔𝗦𝗔𝗠𝗔 𝗦𝗧𝗥𝗔𝗧𝗘𝗚𝗜𝗞 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗠𝗔 𝗬𝗔𝗬𝗔𝗦𝗔𝗡 𝗣𝗔𝗛𝗔𝗡𝗚

huffaz

KUANTAN, 19 Jun 2026 – Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah semalam merasmikan Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026 yang menghimpunkan kira-kira 5,000 huffaz dari seluruh negeri Pahang di Kompleks Yayasan Pahang.

Program julung kali diadakan itu menjadi platform menghimpunkan warga tahfiz serta mengetengahkan potensi huffaz dalam bidang akademik, kemahiran dan profesional. Turut hadir, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang bersama barisan kepimpinan negeri.

Pada majlis tersebut, MARA dan Yayasan Pahang telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang memberi tumpuan kepada peluasan akses pendidikan, pembangunan bakat serta penyediaan laluan akademik, kemahiran dan keusahawanan kepada pelajar huffaz.

Kerjasama itu merangkumi pelaksanaan Program Akses MARA dan Tajaan BUDI ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Program Laluan Global Huffaz, Program TVET, Kemahiran dan Keusahawanan Bersepadu serta program penajaan pengajian melibatkan institusi pendidikan di bawah MARA dan Yayasan Pahang.

MARA turut menyampaikan surat tawaran penajaan kepada pelajar terpilih bagi pelbagai laluan pendidikan. Antaranya melibatkan sembilan pelajar lepasan SPM 2025 daripada Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang yang ditawarkan mengikuti program pengajian ke Jordan, selain 13 pelajar lepasan SPM 2025 daripada Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang menerima tawaran mengikuti pelbagai program di bawah Young Talent Programme (YTP) MARA.

Pada masa sama, seorang pelajar turut menerima peluang mengikuti Skim Pelajar Cemerlang Profesional Commercial Pilot License (SPC-PRO CPL), sekali gus membuka ruang kepada huffaz menceburi bidang profesional berimpak tinggi selaras dengan keperluan industri semasa.

Penglibatan MARA dalam Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026 mencerminkan komitmen berterusan institusi itu dalam menyediakan peluang pendidikan yang pelbagai kepada generasi huffaz. Inisiatif ini diharap dapat melahirkan modal insan yang seimbang dari segi penguasaan ilmu al-Quran, akademik, kemahiran dan profesionalisme serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat, negeri dan negara

Oleh: firusafira