𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗡𝗘𝗫𝗧𝗚𝗘𝗡𝗕𝗜𝗭 𝗠𝗔𝗥𝗔 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗘𝗡𝗔𝗟 𝗘𝗞𝗢𝗦𝗜𝗦𝗧𝗘𝗠 𝗞𝗘𝗨𝗦𝗔𝗛𝗔𝗪𝗔𝗡𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗚𝗘𝗡𝗘𝗥𝗔𝗦𝗜 𝗠𝗨𝗗𝗔
SKUDAI, 22 Jun – MARA terus mempergiat usaha melahirkan generasi usahawan muda Bumiputera menerusi penganjuran Program NextGenBiz MARA yang berlangsung di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.
Program ini memberi pendedahan kepada golongan belia dan graduan mengenai peluang serta potensi bidang keusahawanan sebagai salah satu pilihan kerjaya masa hadapan.
Peserta didedahkan dengan pelbagai inisiatif dan kemudahan yang disediakan MARA merangkumi pembangunan usahawan, peluang pembiayaan perniagaan, pendigitalan serta jaringan bersama pemain industri. Pendedahan ini membolehkan peserta memahami dengan lebih dekat peranan MARA dalam membantu pembangunan usahawan Bumiputera.
Antara pengisian utama ialah Forum Meneroka Potensi Belia Dalam Dunia Keusahawanan yang menampilkan Encik Arif Tukiman, Pengarah Urusan RunCloud dan Dr Irma Shida Abu Samah, Pengarah Urusan Irma Ariandi Global Sdn. Bhd. Kedua-dua panel berkongsi pengalaman serta cabaran yang ditempuhi dalam membangunkan perniagaan masing-masing.
Turut diadakan pameran keusahawanan melibatkan usahawan sekitar Daerah Kulai dan Johor Bahru yang memberi peluang kepada peserta mendekati dunia perniagaan serta membina jaringan bersama usahawan dan pemain industri.
Encik Zahari Aziz, Timbalan Ketua Pengarah MARA turut berkongsi mengenai ekosistem keusahawanan MARA dan penglibatan usahawan muda dalam dunia perniagaan masa kini. Beliau turut meluangkan masa meninjau pameran keusahawanan serta berinteraksi bersama peserta dan usahawan yang terlibat sepanjang program berlangsung.
Dalam program sama, turut diadakan penyerahan simbolik Geran DigitalBiz kepada wakil usahawan yang berjaya menerima kemudahan tersebut. Penghargaan turut diberikan kepada Universiti Teknologi Malaysia atas kerjasama sebagai rakan strategik dalam menjayakan program berkenaan.
Penganjuran Program NextGenBiz MARA selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dalam melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya saing dan bersedia meneroka peluang ekonomi baharu.
Bersempena sambutan 60 Tahun MARA, program seperti ini terus menjadi platform untuk membimbing serta memberi pendedahan awal kepada generasi muda dalam bidang keusahawanan
Oleh: shafiz hamzah



