๐ ๐๐๐๐๐ฆ ๐๐ฃ๐ฅ๐๐ฆ๐๐๐ฆ๐ ๐ฆ๐ฃ๐ ๐๐๐ก ๐๐๐๐ฆ๐ ๐ฎ๐ฌ๐ฎ๐ฑ ๐ ๐ฅ๐ฆ๐ ๐๐จ๐๐๐ ๐๐จ๐๐จ ๐๐๐๐ฅ๐จ ๐ฅ๐๐๐๐๐ก ๐๐๐๐๐ฌ๐๐๐ก ๐ฃ๐๐๐๐๐๐ฅ ๐๐๐ ๐๐ฅ๐๐๐ก๐
KUALA KUBU BHARU, 21 Jun โ Kecemerlangan akademik pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Kubu Bharu dalam peperiksaan SPM dan IGCSE 2025 diraikan menerusi Majlis Apresiasi SPM dan IGCSE 2025 yang berlangsung di Dewan Al Ghazali, MRSM Kuala Kubu Bharu semalam. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Rosni Sohar, Ahli Majlis MARA.
Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan dedikasi para pelajar yang berjaya mencatat pencapaian cemerlang, di samping mengiktiraf komitmen berterusan warga pendidik serta ibu bapa yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada kejayaan mereka. Pelbagai anugerah dan pengiktirafan telah disampaikan kepada pelajar serta guru yang menunjukkan prestasi membanggakan sepanjang tahun akademik 2025.
Dalam peperiksaan SPM 2025, seramai 129 pelajar telah menduduki peperiksaan dengan Gred Purata Maktab (GPM) 1.21, sekali gus meletakkan MRSM Kuala Kubu Bharu dalam kelompok lima sekolah terbaik SPM 2025 di Malaysia. Keputusan tersebut turut disokong oleh pencapaian cemerlang dalam beberapa mata pelajaran yang merekodkan 100 peratus gred A serta peningkatan prestasi bagi enam subjek utama.
Bagi peperiksaan IGCSE 2025 pula, MRSM Kuala Kubu Bharu muncul sebagai antara MRSM terbaik dengan catatan GPM 2.2107. Lebih membanggakan, dua pelajar berjaya meraih pengiktirafan Top In The World bagi subjek English as a Second Language (ESL), sekali gus membuktikan keupayaan pelajar MRSM bersaing dan menyerlah di peringkat antarabangsa.
Kejayaan yang diraikan menerusi majlis ini mencerminkan komitmen berterusan MARA dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berprestasi tinggi. Selaras dengan sambutan 60 Tahun MARA, pencapaian ini menjadi manifestasi usaha berterusan institusi pendidikan MARA dalam menyediakan ekosistem pembelajaran berkualiti yang mampu melahirkan modal insan cemerlang untuk negara.
Oleh: shafiz hamzah



