𝗠𝗔π—₯𝗔 𝗗𝗔𝗑 𝗨𝗧𝗠 π—§π—˜π—₯π—’π—žπ—” π—£π—˜π—Ÿπ—¨π—”π—‘π—š π—žπ—˜π—₯𝗝𝗔𝗦𝗔𝗠𝗔 𝗦𝗧π—₯π—”π—§π—˜π—šπ—œπ—ž

mara

SKUDAI, 22 Jun – Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah mengadakan sesi libat urus strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi membincangkan peluang kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, penajaan pelajar serta pembangunan modal insan Bumiputera.

Perbincangan turut menyentuh potensi penglibatan usahawan Bumiputera dalam pembangunan ekonomi Negeri Johor, khususnya menerusi peluang yang diwujudkan melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), termasuk penerokaan pasaran rentas sempadan dan pemindahan teknologi berimpak tinggi.

Sesi tersebut dipengerusikan oleh Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM bersama Encik Zahari Aziz, Timbalan Ketua Pengarah MARA serta barisan pengurusan MARA Negeri Johor.

Sesi libat urus ini menjadi platform kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan serta meneroka potensi kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada pelajar, graduan dan komuniti usahawan.

Bersempena sambutan 60 Tahun MARA, usaha memperluas kerjasama strategik bersama institusi pendidikan tinggi akan terus dipergiat bagi menyokong agenda pembangunan modal insan negara.

Oleh: shafiz hamzah