π—žπ—’π—Ÿπ—˜π— 𝗠𝗔π—₯𝗔 π—•π—”π—‘π—§π—œπ—‘π—š 𝗖𝗔𝗧𝗔𝗧 𝟭𝟬𝟬% π—žπ—˜π—Ÿπ—¨π—Ÿπ—¨π—¦π—”π—‘ π—œπ—‘π—§π—˜π—₯π—‘π—”π—§π—œπ—’π—‘π—”π—Ÿ π—•π—”π—–π—–π—”π—Ÿπ—”π—¨π—₯π—˜π—”π—§π—˜ π——π—œπ—£π—Ÿπ—’π— π—” 𝗣π—₯π—’π—šπ—₯π—”π— π— π—˜ (π—œπ—•π——π—£)

mara

BANTING, 7 Julai 2026 – Kolej MARA Banting (KMB) terus membuktikan keunggulannya sebagai institusi pendidikan pra-universiti bertaraf antarabangsa apabila merekodkan 100% kelulusan dalam International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) bagi peperiksaan Mei 2026.

Pencapaian ini sekali gus mencerminkan keupayaan ekosistem pendidikan MARA dalam melahirkan pelajar berprestasi tinggi yang mampu bersaing di peringkat global serta memenuhi standard akademik antarabangsa.

Daripada keseluruhan 264 calon yang menduduki peperiksaan tersebut, saudari Nur Alin Qistina binti Roslan berjaya memperoleh skor penuh 45 daripada 45 mata.

Manakala empat pelajar mencatat pencapaian cemerlang dengan memperoleh 44 mata iaitu Muhammad Aaqif bin Dino Faezal, Muhammad Danish bin Mohd Fauzi, Sara Humeira binti Eddynor dan Ungku Hafiz Syazwan Syah bin Ungku Shaharudin.

Selain itu, seramai 69 pelajar memperoleh 40 mata ke atas, sementara 230 pelajar mencapai 35 mata ke atas, sekali gus membuktikan konsistensi kecemerlangan akademik yang menjadi budaya di Kolej MARA Banting.

IBDP merupakan program pra-universiti berprestij yang diiktiraf oleh universiti-universiti terkemuka di seluruh dunia.

Program ini memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik, pemikiran kritis, kemahiran penyelidikan, kepimpinan, serta pembangunan sahsiah bagi melahirkan graduan berdaya saing serta bersedia melanjutkan pengajian ke universiti terbaik dunia.

Pencapaian ini merupakan hasil sinergi antara kegigihan pelajar, dedikasi warga pendidik serta sokongan berterusan ibu bapa dalam melahirkan generasi masa hadapan yang cemerlang.

Kejayaan Kolej MARA Banting diharapkan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk terus mengejar kecemerlangan, mengangkat nama MARA dan Malaysia di persada antarabangsa.

Tahniah buat pelajar-pelajar KMB!

Oleh: shafiz hamzah