π—§π—›π—˜ π—˜π—¦π—¦π—˜π—‘π—–π—˜ 𝗒𝗙 π—Ÿπ—˜π—”π——π—˜π—₯π—¦π—›π—œπ—£ : 𝗗𝗨𝗔 π—•π—˜π—‘π——π—˜π—₯𝗔 π——π—œ 𝗗𝗔𝗗𝗔, π—§π—”π—‘π—šπ—šπ—¨π—‘π—šπ—π—”π—ͺ𝗔𝗕 π—•π—˜π—¦π—”π—₯ 𝗕𝗨𝗔𝗧 𝗧𝗔𝗑𝗔𝗛 π—”π—œπ—₯

mara

KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2026- Melangkah waja bersempena ulang tahun penubuhan yang ke-60, Majlis Amanah Rakyat (MARA) meneruskan komitmennya dalam melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa melalui penganjuran Program Pra-Pelepasan Pelajar Tajaan MARA Ke Luar Negara Perdana 2026 di WTC Kuala Lumpur.

Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Urusan World Trade Centre KL, YBhg. Prof. Dato’ Sri Dr. Hj. Irmohizam bin Hj. Ibrahim, Pengarah Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA, YBhg. Dr. Ahmad Sabri bin Kassim, Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, YBhg. Encik Shahrizal bin Mohd Saderi serta barisan kepimpinan pengurusan MARA, pengawal pusat IPMA dan tenaga pengajar.

Enam dekad legasi kecemerlangan MARA dibuktikan menerusi pelepasan seramai 600 orang pelajar tajaan yang bakal melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang strategik seperti Kejuruteraan, Perubatan, Sains Data, Sains Komputer, Ekonomi, dan Kewangan merangkumi sembilan buah negara termasuk United Kingdom, Australia, Ireland, Kanada, Perancis, New Zealand, Korea Selatan, Mesir, dan China.

Kebanggaan ini turut diserlahkan menerusi kejayaan 11 pelajar yang berjaya mendapat tempat di universiti terkemuka dunia, Imperial College London.

Menerusi segmen The Essence of Leadership, YBhg. Dato’ Seri Zulfikri bin Osman menyuntik inspirasi kepimpinan dan mengingatkan para pelajar tentang tanggungjawab besar yang terletak di bahu mereka.

Beliau menegaskan bahawa para pelajar ini bukan sekadar membawa bendera Malaysia, malah turut mengibarkan bendera MARA di persada dunia.

Membawa dua bendera ini bererti mengalas dua amanah besar iaitu menjaga nama baik serta reputasi MARA sebagai institusi kebanggaan bangsa dan pada masa yang sama menjulang maruah Jalur Gemilang di mata dunia.

Teras kepimpinan sebenar tidak hanya diukur pada kejayaan akademik semata-mata, sebaliknya dibentuk melalui keberanian mengambil tanggungjawab, membina daya fikir kelas pertama, serta kesediaan untuk pulang membawa manfaat dan kepakaran demi memacu pembangunan negara.

Dalam pada itu, beliau tidak melepaskan peluang mengadakan pertemuan khas bersama 11 penuntut cemerlang yang diterima masuk ke Imperial College London.

Dalam pertemuan tersebut, beliau turut mengingatkan para pelajar agar sentiasa memelihara jati diri sebagai rakyat Malaysia.

Beliau menyifatkan pelajar-pelajar ini sebagai ‘duta kecil yang memikul harapan besar agensi, dan berharap agar mereka pulang menabur bakti kepada negara sebaik sahaja tamat pengajian kelak.

Oleh: shafiz hamzah