KELANTAN SHOWCASE 2026 BAWA PRODUK DAN WARISAN NEGERI CIK SITI WAN KEMBANG KE MEDAN MARA

KUALA LUMPUR, 6 OKTOBER 2026 – Medan MARA hari ini menjadi tumpuan apabila Kelantan Showcase 2026 membuka tirai dengan himpunan produk tempatan serta pengisian seni dan budaya yang membawa identiti negeri itu lebih dekat kepada masyarakat Lembah Klang.

Berlangsung selama empat hari hingga 9 Oktober, showcase ini menghimpunkan 34 usahawan MARA Negeri Kelantan yang menampilkan produk dan jenama masing-masing, melibatkan 17 usahawan kluster makanan dan minuman serta 17 usahawan kluster gaya hidup.

Hari pertama showcase hari ini turut mendapat perhatian YB Datuk Rubiah Haji Wang, Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), yang hadir menyaksikan himpunan produk dan pengisian yang dibawa usahawan Kelantan ke Medan MARA.

Kehadiran beliau disambut dengan persembahan Muay Thai, sebelum tinjauan diteruskan dengan pelbagai pengisian yang mengetengahkan seni dan budaya Kelantan.

Bukan sekadar medan jualan, Kelantan Showcase 2026 turut membawa pengunjung mengenali sisi negeri Cik Siti Wan Kembang ini melalui seni silat, Mak Yong, sukan rakyat, demonstrasi mencanting batik dan persembahan lagu tradisional.

Gabungan produk, budaya dan warisan ini menjadikan showcase bukan sahaja ruang memperkenalkan jenama, tetapi juga medium membawa identiti Kelantan lebih dekat kepada masyarakat.

Menerusi Kelantan Showcase 2026, para usahawan berpeluang membawa produk dan jenama mereka keluar dari pasaran negeri untuk diperkenalkan secara lebih dekat kepada masyarakat Lembah Klang, sekaligus membuka ruang untuk perniagaan mereka dikenali di pasaran yang lebih luas.

Oleh: fn