60 TAHUN HUBUNGAN, ERA BAHARU KERJASAMA MARA-OISCA

mara

TOKYO, 8 Oktober 2026 – Malaysia terus memperluas jaringan antarabangsa bersama OISCA International menerusi penyertaan OISCA International Malaysia Chapter (OIMC) dalam OISCA International Board of Directors Meeting 2026 yang berlangsung di Jepun pada 7 Oktober 2026.

Mesyuarat yang menghimpunkan kepimpinan serta wakil OISCA daripada pelbagai negara menjadi platform untuk berkongsi perkembangan program, memperluas kerjasama antara chapter serta membincangkan hala tuju OISCA dalam menghadapi cabaran global berkaitan pembangunan manusia, alam sekitar dan kelestarian.

Dalam Presidential Statement, Ms. Nakano Etsuko, Presiden OISCA International, menekankan bahawa pembangunan manusia perlu bergerak seiring dengan kesejahteraan alam, keselamatan makanan dan air serta semangat saling membantu merentas sempadan.

Beliau turut menegaskan nilai asas gerakan OISCA bahawa manusia merupakan satu keluarga yang perlu bekerjasama dalam menghadapi cabaran bersama.

Mewakili OISCA International Malaysia Chapter, YBhg. Ir. Dr. Mahzan Teh, Ketua Pengarah MARA merangkap Vice President OIMC, membentangkan laporan perkembangan dan pencapaian OIMC sepanjang tahun 2025-2026 yang merangkumi kerjasama MARA-OISCA dalam pembangunan keusahawanan, pengantarabangsaan usahawan, pembangunan bakat, program latihan dan penempatan di Jepun, kerjasama industri serta agenda kelestarian.

Antara inisiatif yang diketengahkan ialah penganjuran MARA-OISCA International Business Forum 2026, penyertaan usahawan Malaysia di FOODEX Tokyo 2026, program perantisan dan latihan industri pelajar Malaysia di Jepun serta kerjasama strategik bersama rakan industri Jepun.

Pembentangan turut menggariskan hala tuju baharu kerjasama MARA-OISCA yang memberi fokus kepada pembangunan laluan bakat antarabangsa yang lebih lengkap, pemindahan teknologi dan kompetensi industri, peningkatan kesiapsiagaan bakat Malaysia untuk Jepun, pengembangan akses pasaran dan keusahawanan serta pembangunan kepimpinan belia dan kelestarian.

Pendekatan ini membawa kerjasama MARA-OISCA daripada model tradisional berasaskan penempatan dan latihan kepada ekosistem yang lebih menyeluruh, meliputi pendidikan, persediaan bahasa dan budaya, latihan industri dan penempatan di Jepun, pembangunan kerjaya serta pemindahan ilmu dan teknologi kembali ke Malaysia.

Tahun 2027 bakal menjadi detik penting apabila MARA dan OISCA memperingati 60 tahun hubungan kerjasama sejak 1967. Sambutan tersebut bukan sahaja menjadi penghargaan terhadap enam dekad hubungan yang telah dibina, malah menjadi titik permulaan kepada fasa baharu kerjasama yang lebih strategik untuk tempoh mendatang.

Oleh: shafiz hamzah