WANITA BERDAYA, PERNIAGAAN BERKEMBANG, KOMUNITI MENJANA PELUANG
AYER KEROH, 12 November 2026 – Peluang meningkatkan pendapatan, mengembangkan perniagaan dan membina jaringan keusahawanan terus diperluas kepada wanita, belia serta usahawan mikro menerusi Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti (PPWK) Parlimen Hang Tuah Jaya 2026, yang merupakan penganjuran kali keenam seumpamanya oleh MARA Negeri Melaka, bertempat di Dewan World Youth Foundation, Ayer Keroh.
Bertemakan “Wanita & Komuniti Memperkasa Keusahawanan”, program yang melibatkan penyertaan 200 orang ini memberi tumpuan kepada penguasaan ilmu keusahawanan, pengurusan kewangan, pemasaran digital serta akses kepada kemudahan pembiayaan dan bimbingan perniagaan. Pendedahan ini membuka peluang kepada peserta untuk meningkatkan keupayaan mengurus perniagaan, meluaskan pasaran dan meneroka sumber pendapatan baharu, sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi keluarga.
Peserta turut mendapat manfaat melalui sesi motivasi keusahawanan, perkongsian pengalaman usahawan berjaya, taklimat kemudahan MARA dan Bank Muamalat serta klinik perniagaan yang menyediakan khidmat konsultasi secara langsung. Pendekatan ini membantu peserta mengenal pasti peluang untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan masing-masing.
Program turut menghimpunkan institusi pendidikan MARA, institusi kewangan dan rakan strategik bagi menyediakan maklumat berkaitan peluang pendidikan, latihan kemahiran serta pembangunan perniagaan. Pengisian tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui perkhidmatan penjagaan kuku oleh GIATMARA Negeri Melaka dan pemeriksaan kesihatan oleh U.n.i klinik Pulau Gadong turut memberi nilai tambah kepada komuniti setempat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi MARA. Turut hadir YB Senator Datuk Rosni Sohar, Ahli Majlis MARA merangkap Pengerusi Pemerkasaan Wanita MARA, YB Datuk Hajah Kalsom Noordin, EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Negeri Melaka serta Encik Shah Zulmizan Safar, Pengarah MARA Negeri Melaka.
Penganjuran ini mencerminkan komitmen MARA untuk memperluas penyertaan ekonomi Bumiputera selaras dengan aspirasi 3P MARA iaitu Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan, sekali gus membuka laluan kepada pembentukan komuniti usahawan yang lebih berdaya saing, berdikari dan mampan.
Oleh: Nurin MI


