π—šπ—œπ—”π—§π— π—”π—₯𝗔 𝗗𝗔𝗑 π— π—’π——π—˜π—‘π—”π—¦ π—£π—˜π—₯π—Ÿπ—¨π—”π—¦ π—žπ—˜π—₯𝗝𝗔𝗦𝗔𝗠𝗔 𝗦𝗧π—₯π—”π—§π—˜π—šπ—œπ—ž π—£π—˜π—₯π—žπ—”π—¦π—” π—§π—©π—˜π—§

mara

MELOR, KELANTAN, 29 Jun 2026 – GIATMARA terus mempergiat kerjasama strategik bersama pemain industri dalam usaha memastikan program latihan yang ditawarkan sentiasa relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan dan perkembangan teknologi semasa.

Pendekatan ini dilaksanakan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang bersedia memenuhi permintaan industri yang semakin dinamik.

Komitmen tersebut diterjemahkan menerusi peluncuran MODENAS Service Plus @ GIATMARA Prima Melor yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Zulfikri Osman, Ketua Pengarah MARA.

Inisiatif hasil kerjasama antara GIATMARA dan MODENAS ini menyaksikan GIATMARA Prima Melor menjadi pusat servis motosikal elektrik (EV) pertama di Kelantan di bawah jaringan kerjasama kedua-dua organisasi.

Menerusi inisiatif ini, pelatih GIATMARA berpeluang memperoleh pengalaman pembelajaran berasaskan industri sebenar serta pendedahan kepada teknologi automotif terkini. Dalam majlis yang sama, lima pelatih GIATMARA menerima Sijil Kompetensi MODENAS sebagai pengiktirafan terhadap kemahiran dan kompetensi yang telah dicapai sepanjang mengikuti latihan.

Turut hadir ialah Dr. Azmi Amat Murjan, Pengarah Kanan Pelaburan MARA; Encik Roslan Muskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS; Datuk Mohd. Azam Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat GIATMARA Prima Melor; dan Encik Mohd. Zainol Zainudin, Pengurus Besar Negeri Pos Malaysia Kelantan bersama barisan pengurusan MARA, GIATMARA dan MODENAS.

YBhg. Ts. Ahmad Hamdi Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA turut mengiringi YBhg. Datuk Zulfikri Osman dan para tetamu melawat bengkel-bengkel latihan GIATMARA Prima Melor serta menyampaikan sijil kemahiran kepada peserta Kursus TVET Komuniti.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan MARA dan GIATMARA dalam memperluas jaringan industri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyokong pembangunan ekonomi negara, selaras dengan aspirasi TVET negara dan sambutan 60 Tahun MARA.

Oleh: suhaimie