𝗠𝗔𝗥𝗔 𝗦𝗔𝗦𝗔𝗥 𝟭𝟬𝟬 𝗦𝗞𝗨 𝗨𝗦𝗔𝗛𝗔𝗪𝗔𝗡 𝗧𝗘𝗠𝗕𝗨𝗦𝗜 𝗣𝗔𝗦𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗚𝗟𝗢𝗕𝗔𝗟 𝗠𝗘𝗟𝗔𝗟𝗨𝗜 𝗠𝗗𝗧𝗣
KUALA LUMPUR, 8 JUN 2026 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperluas akses pasaran antarabangsa kepada usahawan Bumiputera menerusi penyertaan 10 usahawan terpilih dalam program Gate to Global (GTG) melalui MADANI Digital Trade Platform (MDTP) Fasa 1.
Inisiatif yang dilaksanakan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) MARA ini menyasarkan sebanyak 100 unit stok simpanan (stock keeping unit – SKU) produk usahawan untuk dipasarkan ke pelbagai destinasi antarabangsa meliputi rantau ASEAN, Asia Timur, Asia Selatan, Timur Tengah dan Eropah.
Penyertaan dalam MDTP membuka peluang kepada usahawan memanfaatkan platform perdagangan virtual berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang menyokong aktiviti pemasaran, padanan perniagaan serta penembusan pasaran eksport secara lebih tersusun dan berkesan.
Menerusi inisiatif ini, usahawan turut menerima bimbingan dan sokongan merangkumi pembangunan kedai virtual, strategi pemasaran global, perdagangan rentas sempadan serta pengurusan transaksi eksport bagi meningkatkan kesiapsiagaan mereka menembusi pasaran antarabangsa.
Usaha ini selaras dengan aspirasi MARA dalam melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera berdaya saing di peringkat global di samping menggalakkan pemanfaatan teknologi digital dalam aktiviti perniagaan. Inisiatif berkenaan juga seiring dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang memberi penekanan kepada pemerkasaan ekonomi Bumiputera melalui pengembangan perniagaan bernilai tinggi dan berorientasikan eksport.
Sempena sambutan 60 tahun MARA, pelaksanaan program seperti GTG mencerminkan komitmen berterusan agensi ini dalam memperluas akses pasaran serta mempertingkat daya saing usahawan Bumiputera agar kekal relevan dalam ekosistem ekonomi global yang semakin mencabar.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2018, program GTG telah membimbing seramai 166 usahawan Bumiputera meneroka peluang eksport ke pelbagai pasaran antarabangsa. Dalam tempoh sama, MDTP merekodkan sebanyak 4,557 penjual berdaftar dengan nilai jualan terkumpul RM28.17 juta selain merekodkan jualan eksport melalui padanan perniagaan bernilai USD6.57 juta.
Turut hadir ialah Encik Mansor Shah Wahid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport), MATRADE; Encik Yusram Yusup, Pengarah Kanan Bahagian Transformasi dan Perdagangan Digital, MATRADE; Encik Alfitri Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan, MARA; serta Puan Noreen Che Mid, Pengurus Unit MyTRADE DIGITAL, MATRADE.
Oleh: shafiz hamzah



