๐—ฃ๐—˜๐—Ÿ๐—จ๐—”๐—ก๐—š ๐—˜๐—ž๐—ฆ๐—ฃ๐—ข๐—ฅ๐—ง ๐—จ๐—ฆ๐—”๐—›๐—”๐—ช๐—”๐—ก ๐—š๐—ง๐—š ๐— ๐—”๐—ฅ๐—” ๐— ๐—˜๐—Ÿ๐—”๐—Ÿ๐—จ๐—œ ๐—๐—™๐—˜๐—ซ ๐Ÿฎ๐Ÿฌ๐Ÿฎ๐Ÿฒ

mara

TOKYO, 28 Jun 2026 โ€“ Penyertaan lima syarikat usahawan Program Gate To Global (GTG) MARA dalam Japan International Food & Beverage Expo (JFEX) 2026 yang berlangsung di Tokyo Big Sight, Tokyo dari 24 hingga 26 Jun 2026 telah membuka peluang eksport baharu serta memperluaskan rangkaian kerjasama perniagaan antarabangsa bagi produk makanan halal keluaran usahawan MARA.

Lima syarikat yang mewakili MARA iaitu Samz Holding Sdn. Bhd., Nims Adeliciousz Sdn. Bhd., Joeyees Trading Sdn. Bhd., Nutrivera Manufacturing Sdn. Bhd. dan Syarikat Jutaan Purnama Sdn. Bhd. telah mengadakan sesi padanan perniagaan serta perbincangan strategik bersama 83 syarikat berpotensi dari Jepun, Korea Selatan, Filipina, Hong Kong dan Australia sepanjang pameran berlangsung.

Sambutan yang diterima membuktikan produk keluaran usahawan MARA mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa, sekali gus meningkatkan kehadiran produk halal Malaysia di peringkat global.

Antara pencapaian utama yang direkodkan menerusi penyertaan tersebut ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Samz Holding Sdn. Bhd. dan Bompex Japan Ltd. yang disaksikan oleh Puan Azimatul Masriyah Aziz Jamaludin, Pengarah MATRADE Tokyo dan Encik Abdul Halim Mustafa, Timbalan Pengarah MATRADE Tokyo.

Kerjasama strategik ini menjadi langkah penting dalam memperluaskan akses produk usahawan MARA ke pasaran Jepun yang mempunyai permintaan tinggi terhadap produk makanan halal berkualiti.

Melalui kerjasama tersebut, sebanyak 12 SKU produk halal keluaran Samz Holding akan dipasarkan di Jepun melibatkan pelbagai kategori seperti sambal, pes masakan dan sos. Inisiatif ini membuka laluan kepada pengedaran produk secara lebih meluas menerusi rangkaian pengimport dan pengedar tempatan di Jepun.

Secara keseluruhannya, penyertaan usahawan GTG MARA di JFEX 2026 membuktikan keupayaan usahawan Bumiputera untuk bersaing di peringkat global melalui penghasilan produk berkualiti dan berdaya saing.

Kejayaan ini turut mencerminkan komitmen berterusan MARA dalam memperluaskan peluang pasaran antarabangsa kepada usahawan bersempena sambutan 60 Tahun MARA, selaras dengan aspirasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk meningkatkan kehadiran produk halal Malaysia di pasaran dunia.

Oleh: shafiz hamzah