𝗣π—₯π—’π—šπ—₯𝗔𝗠 π—£π—˜π— π—˜π—₯π—žπ—”π—¦π—”π—”π—‘ π—ͺπ—”π—‘π—œπ—§π—” 𝗗𝗔𝗑 π—žπ—’π— π—¨π—‘π—œπ—§π—œ 𝗠𝗔π—₯𝗔 π——π—˜π—žπ—”π—§π—œ π—žπ—’π— π—¨π—‘π—œπ—§π—œ π—”π—¬π—˜π—₯ π—›π—œπ—§π—”π— 

mara

AYER HITAM, 3 Julai 2026 – Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA (PPWK) 2026 terus menjadi platform penting dalam mendekatkan masyarakat dengan pelbagai kemudahan dan peluang yang disediakan MARA.

Program yang berlangsung di Aylia Event Hall, Yong Peng hari ini menghimpunkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada usahawan, bakal usahawan, ibu bapa serta komuniti setempat yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan pendidikan, keusahawanan dan pembiayaan.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YBhg. Senator Datuk Rosni Sohar, Ahli Majlis MARA dan turut dihadiri YBhg. Datuk Zulfikri Osman, Ketua Pengarah MARA serta Encik A. Razu Abdul Razak, Pengarah MARA Negeri Johor.

Penganjuran program ini membolehkan masyarakat setempat memperoleh maklumat secara terus mengenai pelbagai kemudahan dan peluang yang disediakan MARA dalam usaha membantu mereka meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan potensi diri.

Sebagai sebahagian daripada usaha membantu masyarakat, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) turut menyampaikan Bantuan Persekolahan berjumlah RM5,000 kepada 50 penerima yang layak. Dalam masa yang sama, GIATMARA Parit Sulong melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi perkhidmatan pertukaran minyak hitam kepada komuniti setempat.

Program ini turut membuka ruang kepada enam usahawan wanita dari Johor untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pengunjung. Pelbagai agensi kerajaan dan institusi MARA turut mengambil bahagian melalui pameran dan sesi perkongsian maklumat bagi membantu peserta memahami pelbagai peluang yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan diri, pendidikan dan perniagaan.

Bersempena sambutan 60 Tahun MARA, PPWK 2026 terus menjadi wadah untuk menyampaikan maklumat dan manfaat MARA kepada masyarakat secara lebih menyeluruh. Program seumpama ini turut membantu meningkatkan kesedaran komuniti terhadap pelbagai peluang pembangunan yang boleh dimanfaatkan bagi merancang masa depan yang lebih baik.

Oleh: shafiz hamzah