π—₯𝗛𝗕 π—œπ—¦π—Ÿπ—”π— π—œπ—– π—•π—”π—‘π—ž π—§π—˜π—₯π—¨π—¦π—žπ—”π—‘ 𝗧𝗔𝗝𝗔𝗔𝗑 π—₯π— πŸ­.𝟱 𝗝𝗨𝗧𝗔 π—•π—”π—šπ—œ π— π—˜π—‘π—¬π—’π—žπ—’π—‘π—š π—£π—˜π—‘π——π—œπ——π—œπ—žπ—”π—‘ π—£π—˜π—Ÿπ—”π—π—”π—₯ π—•πŸ°πŸ¬ 𝗗𝗔𝗑 𝗔𝗦𝗑𝗔𝗙

mara

KUALA LUMPUR, 4 Jun 2026 – Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan RHB Islamic Bank Berhad hari ini meneruskan kerjasama strategik menerusi Program B40 Education Empowerment Programme (BEEP) bagi tempoh 2026 hingga 2028 dengan nilai tajaan keseluruhan berjumlah RM1.5 juta.

Kerjasama yang bermula sejak tahun 2023 itu bertujuan memperluas akses pendidikan berkualiti kepada pelajar daripada golongan B40 dan asnaf di seluruh negara melalui pelbagai inisiatif pembangunan akademik dan sahsiah.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata kesinambungan kerjasama tersebut mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan lebih ramai pelajar mendapat peluang pendidikan yang lebih baik tanpa mengira lokasi dan latar belakang sosioekonomi. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dato’ Adissadikin Ali, Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad, atas sokongan berterusan dalam membantu pembangunan pendidikan anak bangsa.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, Program BEEP telah memberi manfaat kepada seramai 7,880 pelajar menerusi Program Tuisyen Pintar YPM, Seminar Motivasi dan Teknik Menjawab Soalan SPM, Program Selangkah Ke Universiti serta Skim Anak Angkat YPM RHB Islamic.

Melalui tajaan bagi tempoh 2026 hingga 2028, RHB Islamic Bank Berhad akan menyokong pelaksanaan enam pusat Program Tuisyen Pintar YPM yang melibatkan 1,800 pelajar di enam zon seluruh Malaysia, tujuh program Selangkah Ke Universiti yang dijangka memberi manfaat kepada 7,350 pelajar, selain meneruskan Program Anak Angkat YPM RHB Islamic bagi membantu pelajar yang memerlukan.

Inisiatif ini memberi penekanan kepada pembangunan akademik, motivasi, kepimpinan, jati diri dan kecemerlangan diri bagi melahirkan generasi yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Adissadikin Ali, Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad; Encik Khairul Hakeem Bin Mohamed Sahari, Ketua Pegawai Kewangan RHB Islamic Bank Berhad; Dr. Azmi Amat Murjan, Pengarah Kanan Pelaburan MARA; Encik Faisalludin Mohamat Yusuff, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA; serta barisan pengurusan MARA, RHB Islamic Bank Berhad dan Yayasan Pelajaran MARA.

Oleh: firusafira