𝗧𝗥𝗔𝗡𝗦𝗙𝗢𝗥𝗠𝗔𝗦𝗜 𝗕𝗘𝗡𝗚𝗞𝗘𝗟 𝗟𝗨𝗔𝗥 𝗕𝗔𝗡𝗗𝗔𝗥: 𝗠𝗔𝗥𝗔 𝗕𝗨𝗞𝗔 𝗣𝗘𝗟𝗨𝗔𝗡𝗚 𝗕𝗔𝗛𝗔𝗥𝗨 𝗔𝗨𝗧𝗢𝗠𝗢𝗧𝗜𝗙

PAKA, TERENGGANU, 31 Mac 2026 – Bengkel automotif milik usahawan Bumiputera di kawasan luar bandar kini berpeluang beroperasi pada standard industri moden hasil inisiatif Majlis Amanah Rakyat melalui Program Workshop Enhancement Programme (WEP), sekali gus membuka peluang baharu kepada pengusaha bengkel tempatan.

Transformasi tersebut dapat dilihat melalui bengkel milik Pn. Masyitah Mohd Nawawi yang berjaya dinaik taraf daripada bengkel konvensional kepada bengkel berkonsep moden dengan kemudahan peralatan standard industri serta sistem pengurusan operasi yang lebih tersusun.

Kejayaan ini kemudiannya dizahirkan melalui majlis perasmian rasmi outlet Syarikat Sinar Maju Workshop yang telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah MARA, Dato’ Zulfikri Osman, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Program WEP yang memberi tumpuan kepada pemodenan bengkel automotif Bumiputera khususnya di kawasan luar bandar.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama rakan industri Mannol Malaysia (Advanced Profinity Sdn. Bhd.) yang memperkenalkan model pembangunan bengkel berkonsep Mannol Auto Master merangkumi penaiktarafan fasiliti, penyediaan peralatan standard industri serta amalan pengurusan bengkel yang lebih sistematik.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2024, Program WEP telah melatih lebih 350 pengusaha bengkel automotif Bumiputera melalui 14 siri kursus di seluruh negara, dengan 60 peserta dipilih untuk melaksanakan transformasi bengkel dan 16 bengkel konsep berjaya disiapkan setakat ini. Inisiatif ini turut merekodkan jumlah jualan keseluruhan melebihi RM6 juta serta mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor automotif tempatan, sekali gus membuktikan keberkesanan pelaksanaannya.

Syarikat Sinar Maju Workshop merupakan bengkel pertama di negeri Terengganu yang berjaya dibangunkan di bawah konsep ini, dan antara peserta yang menerima manfaat melalui pembiayaan sebanyak RM250,000 bagi melaksanakan transformasi bengkel, sekali gus meningkatkan keupayaan operasi dan prestasi perniagaan.

Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Pembangunan Usahawan, Pn. Nor Uyon Shoib; Pengarah Infrastruktur Komersial, Pn. Mimi Mazlin Mohamad Yusof; serta Pengarah Pembiayaan Perniagaan, En. Mohd Azam Jamaluddin, bersama wakil industri yang menyokong pelaksanaan inisiatif ini.

Oleh: shafiz hamzah