1,500 BELIA ALOR GAJAH DAN TANGGA BATU TEROKA MASA DEPAN MELALUI PENDIDIKAN TINGGI DAN TVET MARA

ALOR GAJAH, 11 November 2026 – Peluang melanjutkan pengajian dan membina kerjaya berkemahiran tinggi terus dibuka kepada generasi muda Melaka menerusi Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA Negeri Melaka 2026 Peringkat Alor Gajah dan Tangga Batu yang berlangsung di Dewan Besar Kampung Machap Umboo, hari ini.

Program yang dirasmikan oleh YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi MARA ini memberi tumpuan kepada pelajar lepasan sekolah dan belia yang masih mencari hala tuju pendidikan serta kerjaya, khususnya dalam bidang teknikal dan kemahiran yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan.

Dalam perkembangan industri Melaka yang semakin pesat, khususnya sektor semikonduktor, automotif, aeroangkasa dan teknologi digital, pendidikan TVET dilihat sebagai laluan strategik untuk melahirkan tenaga kerja kompeten yang mampu memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi. Sehubungan itu, MARA komited memastikan golongan muda mendapat akses kepada pendidikan dan latihan yang relevan dengan peluang pekerjaan masa hadapan.

Sepanjang program, peserta berpeluang mendapatkan khidmat nasihat secara terus daripada institusi pendidikan MARA berkaitan syarat kemasukan, pilihan pengajian, pembiayaan dan penajaan pendidikan. Perkongsian pengalaman alumni TVET serta kisah kejayaan usahawan MARA turut memberi inspirasi kepada peserta untuk meneroka potensi diri dan merancang masa depan dengan lebih yakin.

Penganjuran ini merupakan siri ketiga dan terakhir Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA Negeri Melaka 2026 yang bermula pada 3 November lalu, meliputi empat kawasan Parlimen menerusi tiga siri program. Inisiatif anjuran MARA dengan kerjasama Yayasan Pelajaran MARA (YPM), MARA Corporation Sdn. Bhd., Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka ini menyasarkan penyertaan keseluruhan seramai 3,500 belia.

YPM selaku penyelaras utama jelajah turut memainkan peranan penting dalam mendekati komuniti melalui penyelarasan penyertaan pelajar, penglibatan Skuad YPM dan bimbingan awal kerjaya. Komitmen ini turut diterjemahkan melalui pelaksanaan pelbagai program pendidikan dan pembangunan belia di Melaka yang memperuntukkan lebih RM1 juta serta merekodkan 4,216 penerima manfaat setakat Oktober 2026.

Melalui pendekatan turun padang ini, MARA berhasrat meningkatkan minat belia terhadap pendidikan tinggi dan TVET, seterusnya melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang berdaya saing serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan pembangunan negara.

Oleh: Nurin MI