CIPTA PERNIAGAAN JUTAAN RINGGIT, BUKA 55 PELUANG PEKERJAAN
KUCHING, 1 November 2026 – Kejayaan empat alumni GIATMARA Sarawak dalam sektor pembinaan, automotif serta makanan dan minuman membuktikan bahawa kemahiran teknikal mampu diterjemahkan kepada perniagaan berdaya saing, sekali gus menjana sekurang-kurangnya 55 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Antaranya, Faizul Nizan, alumni GIATMARA Mukah yang menerajui Hamizan Arif Group Sdn. Bhd. dalam sektor pembinaan berjaya mencatat pendapatan tahunan RM16.6 juta pada 2025 serta menggaji 30 pekerja tempatan.
Sulaiman, alumni GIATMARA Bandar Kuching pula mengembangkan perniagaan Bro Auto daripada modal permulaan RM10,000 sehingga mencapai pendapatan RM1.8 juta dengan 11 pekerja.
Turut mencipta kejayaan, Ismail Hanizam, alumni GIATMARA Stampin yang mengusahakan perniagaan kafe dan restoran dengan jualan melebihi RM600,000 serta menyediakan pekerjaan kepada 14 individu.
Sementara itu, Normawati, pemilik Zueema Enterprise berjaya membawa produk mi kolok segera tempatan menembusi pasaran China dan Arab Saudi.
Kisah kejayaan keempat-empat usahawan yang turut diketengahkan menerusi naskhah Permata Biru GIATMARA menjadi inspirasi kepada 418 peserta Program Sinergi AKRAB GIATMARA Negeri Sarawak 2026 yang berlangsung di GIATMARA Petra Jaya pada 30 hingga 31 Oktober 2026.
Program anjuran GIATMARA Negeri Sarawak ini melibatkan 160 peserta secara fizikal dan 258 pelatih secara dalam talian dari Zon Tengah dan Zon Utara Sarawak, sekali gus memperluas akses kepada peluang pembangunan keusahawanan tanpa mengira jarak dan lokasi.
Lebih daripada sekadar perkongsian kejayaan, program ini menghubungkan pelatih, alumni dan usahawan dengan pelbagai agensi strategik bagi mendapatkan bimbingan perniagaan, akses pembiayaan, pensijilan, pemasaran digital serta penggunaan kecerdasan buatan (Al) dalam perniagaan.
Inisiatif ini membuka laluan kepada lebih ramai usahawan baharu untuk mengembangkan potensi kemahiran kepada perniagaan yang mampan.
Program tersebut dirasmikan oleh YBhg. Puan Ajar @ Siti Ajar Yasin, Ahli Majlis MARA yang menekankan bahawa pendidikan TVET bukan sekadar menyediakan tenaga kerja mahir untuk industri, malah berpotensi melahirkan pencipta peluang pekerjaan melalui pembangunan perniagaan sendiri.
Penganjuran ini turut menyaksikan penyampaian Bantuan Program Start Right (PSR) 2026 kepada sembilan penerima, selain sesi townhall bersama pengurusan tertinggi GIATMARA, perkongsian usahawan berjaya, pameran produk dan pertandingan kemahiran.
Melalui jaringan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan industri, GIATMARA terus membina ekosistem keusahawanan yang membuka lebih banyak peluang kepada graduan untuk mencipta pendapatan, mengembangkan perniagaan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti.
Oleh: Nurin MI


