MARA BUKA LALUAN PENDIDIKAN, BINA MASA DEPAN BELIA MASJID TANAH

mara

MASJID TANAH, 5 November 2026 – Peluang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah sarjana muda serta mengikuti latihan kemahiran semakin dekat dengan belia setempat menerusi Program Jelajah Pendidikan Tinggi & TVET MARA Negeri Melaka 2026 Peringkat Masjid Tanah yang berlangsung di Villa D’Acqua, hari ini.

Program yang menghimpunkan 500 peserta terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan TVETMARA Masjid Tanah ini memberi ruang kepada pelajar dan golongan belia mendapatkan maklumat secara langsung mengenai pilihan pengajian, syarat kemasukan, kemudahan penajaan serta prospek kerjaya yang bersesuaian dengan minat dan potensi masing-masing. Menerusi sesi konsultasi bersama wakil institusi pendidikan MARA, peserta turut berpeluang mendapatkan panduan bagi menentukan hala tuju pendidikan yang selari dengan keperluan industri.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka, yang dalam ucapannya menekankan kepentingan penguasaan ilmu dan kemahiran seiring dengan perkembangan industri, khususnya dalam era kecerdasan buatan dan automasi.

Beliau turut memaklumkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan TVET dan universiti di Melaka mencatatkan antara 95 hingga 98.8 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, sekali gus memperlihatkan potensi pendidikan tinggi dan TVET dalam menyediakan generasi muda untuk memasuki alam pekerjaan.

Terdahulu, YBhg. Tuan Haji Faisalludin Mohamat Yusuff, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA, telah menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut.

Penganjuran di Masjid Tanah merupakan kesinambungan Jelajah Pendidikan Tinggi & TVET MARA Negeri Melaka 2026 yang berlangsung di Dewan MPJ Alamanda, Jasin pada 3 November lalu. Program ini dianjurkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Yayasan Pelajaran MARA, MARA Corporation Sdn. Bhd., Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

Melalui pendekatan turun padang ini, MARA terus komited memperluas akses pendidikan dan latihan kemahiran kepada belia, sekali gus menyokong pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, kompeten dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Oleh: Nurin MI