MARA PERKUKUH EKOSISTEM TVET TENAGA BERSAMA TNB DAN SEDA

mara

SEBERANG PERAI, 6 Oktober 2026 – Daripada nadi voltan tinggi yang menggerakkan kerangka industri negara hingga ke inovasi solar yang menerangi masa hadapan hijau, transformasi landskap tenaga hari ini menuntut keupayaan modal insan yang bukan sekadar celik teknologi, malah berdaya saing, kompeten, dan berintegriti tinggi dalam aspek keselamatan.

Keperluan itu menjadi antara fokus TVETMARA Seberang Perai Utara (TVETSPU) dalam memperkukuh latihan berasaskan industri melalui hubungan strategik bersama pemain industri dan badan pensijilan profesional. Usaha tersebut diperkasakan menerusi sumbangan tiga unit Switchgear 11kV oleh Unit Procurement & Supply Chain, TNB untuk kegunaan pembelajaran dan latihan voltan tinggi.

Penggunaan peralatan sebenar dalam latihan memberi ruang kepada pelajar memahami kefungsian sistem, menguasai prosedur kerja serta membudayakan aspek keselamatan elektrik. Pada masa sama, kemudahan berkenaan berupaya meningkatkan kualiti latihan amali dan pembangunan kepakaran tenaga pengajar dalam teknologi serta sistem voltan tinggi.

Hubungan MARA dan TNB turut berkembang daripada perkongsian teknologi kepada pembangunan kompetensi warga industri. Melalui kerjasama dengan TNB Integrated Learning Solution Sdn. Bhd. (ILSAS), TVETMARA SPU melaksanakan Program Kompetensi Penjaga Jentera Elektrik Kategori AO khusus untuk pekerja TNB.

Keupayaan TVETMARA SPU tidak terhenti pada bidang elektrik konvensional. Perkembangan industri ke arah tenaga lebih mampan turut diterjemahkan melalui latihan Grid-Connected Photovoltaic (GCPV) SEDA yang memberi pendedahan kepada aspek teknikal, kemahiran praktikal, piawaian keselamatan serta pemasangan dan penyelenggaraan sistem solar fotovolta.

Hadir merasmikan program tersebut, YBhg. Encik Zahari Aziz, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA yang turut menyaksikan gimik penyerahan peralatan pembelajaran voltan tinggi TNB serta menyampaikan Sijil Kompetensi Penjaga Jentera Elektrik AO TNB dan GCPV SEDA kepada para penerima.

Beliau turut mengadakan lawatan ke Hi-Volt Academy TVMSPU sebagai sebahagian daripada pengisian program bagi melihat kemudahan latihan yang menyokong pembangunan kompetensi dalam bidang elektrik dan voltan tinggi.

Kerjasama ini membuka ruang lebih luas untuk MARA dan rakan strategik industri memperkukuh pembangunan bakat melalui perkongsian kepakaran, peningkatan kemahiran tenaga pengajar, pensijilan profesional dan pemindahan teknologi.

Pada masa sama, laluan peningkatan kompetensi kepada warga industri dapat diperluas melalui program pendidikan dan latihan yang disesuaikan dengan keperluan semasa.

Daripada peralatan industri di bengkel kepada kompetensi profesional di tempat kerja dan teknologi hijau untuk masa hadapan, TVET MARA membina rantaian pembangunan bakat yang menghubungkan pendidikan dengan realiti industri.

Oleh: shafiz hamzah