MARA PERKUKUH HUBUNGAN ANTARABANGSA, TEROKA POTENSI KERJASAMA TVET DENGAN CÔTE D’IVOIRE

mara

KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2026 – Usaha memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diteruskan menerusi kunjungan hormat delegasi Entrepreneurial Solution Partners (ESP) dari Côte d’Ivoire ke MARA.

Delegasi yang diketuai pengasanya, Mr. Eric Kacou, hadir bagi meneroka potensi kerjasama strategik dalam pembangunan pendidikan kemahiran dan modal insan berkemahiran tinggi.

Perbincangan ini turut disertai oleh YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Noor Azlan Ghazali, Ahli Majlis MARA bersama YBhg. Encik Zahari Aziz, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA serta wakil daripada Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA dan GIATMARA.

Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada perkongsian pengalaman dan kepakaran MARA dalam pembangunan ekosistem TVET, khususnya merangkumi pembangunan kurikulum dan silibus, peningkatan kompetensi tenaga pengajar, pendigitalan TVET serta pelaksanaan model pendidikan berasaskan kerjasama strategik dengan industri.

Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai cabaran pembangunan modal insan (Human Capital Development – HCD) dan pendekatan yang bersesuaian bagi memperkukuh sistem latihan kemahiran.

Perbincangan turut meneliti kepentingan penjajaran pendidikan TVET dengan keperluan industri serta perkembangan teknologi bagi memastikan tenaga kerja yang dilahirkan memiliki kompetensi relevan dan berdaya saing.

Potensi kerjasama ini membuka ruang kepada penerokaan pendekatan pembangunan TVET yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak, di samping memperluas jaringan antarabangsa MARA dalam bidang pendidikan dan latihan kemahiran.

Lebih daripada sekadar kunjungan hormat, pertemuan ini mencerminkan kesediaan untuk membina hubungan kerjasama yang lebih erat antara MARA dengan ESP, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian kepakaran dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada kemajuan industri serta ekonomi masa hadapan.

Oleh: nn