MARA PERLUAS SOKONGAN KEUSAHAWANAN WANITA DAN KOMUNITI DI SAMARAHAN
KOTA SAMARAHAN, 17 Oktober 2026 – Seramai kira-kira 500 peserta menyertai Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA 2026 Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan hari ini bagi mendapatkan pendedahan mengenai peluang keusahawanan, kemudahan pembiayaan dan sokongan pembangunan perniagaan yang disediakan MARA.
Program yang disempurnakan YB Datuk Hajah Rubiah Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut menyaksikan penyerahan kemudahan pembiayaan perniagaan MARA berjumlah RM2.022 juta kepada lima usahawan menerusi Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE), DanaNITA dan Program Usahawan Muda MARA (PUTRA).
Selain perkongsian mengenai peluang keusahawanan, program itu turut merangkumi pengisian berkaitan pengurusan kewangan, perlesenan perniagaan dan kenegaraan, selain pameran agensi serta usahawan tempatan.
Pendedahan berkenaan memberi ruang kepada peserta untuk mengenali kemudahan yang tersedia serta mendapatkan maklumat bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan, termasuk melalui pendigitalan dan pensijilan halal.
Pada 2026, MARA memperuntukkan RM35.8 juta bagi menyokong pembangunan 1,329 usahawan Bumiputera di Sarawak menerusi pembiayaan, latihan dan geran padanan.
Daripada jumlah itu, RM33.5 juta diperuntukkan bagi pembiayaan perniagaan dengan sasaran 125 usahawan. Sehingga Ogos 2026, seramai 246 usahawan telah menerima pembiayaan berjumlah RM33.1 juta, termasuk 82 usahawan wanita yang memperoleh pembiayaan sebanyak
RM9 juta.
Melalui kemudahan pembiayaan dan program pembangunan keusahawanan, MARA berperanan menyediakan sokongan kepada usahawan Bumiputera untuk meningkatkan keupayaan perniagaan, memperluas peluang pasaran dan mewujudkan pekerjaan.
Usaha itu turut membuka ruang kepada lebih ramai wanita dan komuniti setempat untuk terlibat secara aktif dalam kegiatan ekonomi.
Oleh: fn



