MRSM RANAU MEMBINA POTENSI, MENCORAK MASA DEPAN SABAH

mara

RANAU, 3 Oktober 2026 – Seramai 65 graduan MRSM Ranau diraikan dalam Majlis Graduasi MRSM Ranau Kali Ke-2 Tahun 2026 sebagai penghargaan terhadap usaha dan pencapaian mereka sepanjang mengikuti Sistem Pendidikan MRSM. Majlis ini turut menjadi pembakar semangat kepada para graduan dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.

Majlis yang berlangsung di Dewan Utama MRSM Ranau telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Timbalan Ketua Menteri II Sabah merangkap Menteri Kewangan Negeri Sabah.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang dalam membina masa depan Sabah.

Justeru, peluang mendapatkan pendidikan berkualiti perlu diperluas kepada anak-anak Sabah termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar, agar faktor lokasi tidak menjadi penghalang untuk mereka mengembangkan potensi dan mengejar cita-cita.

Aspirasi inilah yang diterjemahkan menerusi pembangunan MRSM Ranau.

Lebih daripada sebuah institusi pendidikan, MRSM Ranau mencerminkan keyakinan terhadap potensi anak-anak Sabah untuk dibentuk sebagai generasi berilmu, berkemahiran dan berintegriti yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan.

Majlis graduasi ini bukan sekadar meraikan sebuah pencapaian tetapi mencerminkan komitmen bersama MARA, warga pendidik, ibu bapa dan komuniti dalam membentuk generasi berilmu, berkemahiran, berintegriti dan berdaya tahan.

MRSM Ranau terus membawa aspirasi untuk melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan
Sabah dan negara.

Oleh: nh