NAUNGAN DIRAJA PAHANG BERTERUSAN, UNIKL MELANGKAH KE ERA KEPIMPINAN BAHARU
KUALA LUMPUR, 21 November 2026 – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) melakar satu lagi detik bersejarah apabila Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dimasyhurkan sebagai Canselor baharu UniKL pada Majlis Konvokesyen UniKL Ke-23 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Pemasyhuran ini menandakan kesinambungan naungan Diraja Pahang terhadap UniKL apabila Baginda meneruskan legasi Paduka Ayahanda, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, yang menaungi universiti berkenaan sebagai Canselor pertama sejak tahun 2004 hingga 2025.
Sepanjang tempoh tersebut, UniKL berkembang daripada tujuh kampus yang menawarkan 17 program pengajian kepada 12 kampus dengan 162 program, melibatkan seramai 38,338 mahasiswa. Perkembangan ini mencerminkan kemajuan signifikan universiti milik MARA dalam memperluas akses pendidikan tinggi teknikal, memperkukuh penawaran akademik serta melahirkan tenaga profesional berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri dan pembangunan negara.
Pada majlis yang sama, Sultan Pahang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan sebagai penghargaan atas kepimpinan dan sumbangan Baginda terhadap pembangunan UniKL. Legasi kepimpinan Baginda turut diiktiraf menerusi pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) sebagai Canselor Diraja Paling Lama Berkhidmat di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta, dengan tempoh perkhidmatan selama 21 tahun, satu bulan dan 21 hari.
Dalam titah penerimaannya, Sultan Pahang menzahirkan penghargaan atas penghormatan tersebut serta keyakinan bahawa Tengku Mahkota Pahang akan meneruskan amanah kepimpinan dengan kebijaksanaan dan wawasan bagi membawa UniKL ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.
Menggalas tanggungjawab sebagai Canselor baharu, Tengku Mahkota Pahang menggariskan lima keutamaan utama bagi memperkukuh kedudukan UniKL pada masa hadapan, merangkumi pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pengukuhan kerjasama industri, pembangunan keusahawanan teknologi, pembentukan sahsiah graduan serta kelestarian. Keutamaan ini mencerminkan komitmen UniKL untuk terus responsif terhadap perkembangan teknologi dan keperluan industri, di samping melahirkan graduan yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, serta kehadiran Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pro-Canselor UniKL, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan menjadikan TVET sebagai laluan kerjaya utama, melahirkan inovator dan pemilik teknologi serta memperkukuh peranan pendidikan sebagai pemangkin mobiliti sosial, khususnya dalam kalangan masyarakat Bumiputera dan luar bandar.
Majlis Konvokesyen UniKL Ke-23 yang berlangsung dari 21 hingga 26 November 2026 menerusi 11 sesi meraikan seramai 8,147 graduan, termasuk 125 graduan antarabangsa dari 39 negara. Penganjuran konvokesyen kali ini turut menjadi platform meraikan pencapaian UniKL yang telah melahirkan graduan ke-100,000 sejak penubuhannya pada tahun 2002. Turut menerima pengiktirafan ialah mantan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof. Dato’ Dr. Abdul Hakim Juri, yang dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus atas sumbangan beliau terhadap pembangunan universiti.
Kesinambungan naungan Diraja Pahang ini bukan sekadar melambangkan penghormatan terhadap legasi kepimpinan terdahulu, malah membuka lembaran baharu buat UniKL untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal berteraskan industri. Melalui pemerkasaan TVET, penguasaan teknologi dan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, UniKL akan terus memainkan peranan strategik dalam memperkasa agenda pembangunan Bumiputera serta menyumbang kepada kemajuan dan daya saing negara.
Oleh: Nurin MI


