PERSIDANGAN NASIONAL REFORMASI KERENAH BIROKRASI : INISIATIF HALAL MARA RAIH ANUGERAH PLATINUM
SHAH ALAM, 29 Oktober 2026 – Inisiatif Halal dari Bahagian Pembangunan Usahawan MARA di bawah tajuk ‘Mempercepatkan Proses Memudahcara ke Arah Mendapatkan Sijil Halal JAKIM Kepada Usahawan Bumiputera Daripada 37 Minggu Kepada 11 Minggu 5 Hari’ telah memenangi Anugerah Platinum sempena Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi.
Majlis penyampaian anugerah yang diadakan di Selangor International Trade Centre telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Dr. Mohd Bakhari bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) kepada YBhg. Dato’ Abdul Kahar bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW.
Inisiatif ini merupakan manifestasi komitmen MARA dalam memperkasa ekosistem halal melalui penambahbaikan proses kerja, pemendekan tempoh penyampaian perkhidmatan serta pengurangan kerenah birokrasi bagi memudahkan usahawan Bumiputera mendapatkan pensijilan halal.
Persidangan berkenaan menghimpunkan sebanyak 159 projek reformasi daripada pelbagai kementerian dan kerajaan negeri yang membentangkan inisiatif penambahbaikan masing-masing. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 52 projek telah menerima Anugerah Platinum, manakala 105 projek dianugerahkan Anugerah Emas. Bagi penerima Anugerah Platinum, projek akan dibawa ke Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi 2027.
Selain itu, inisiatif MyPremis dari Bahagian Infrastruktur Komersial turut memenangi Anugerah Emas dalam persidangan ini.
Penganjuran persidangan ini menjadi wadah strategik dalam memperkukuh komitmen dan sinergi antara kementerian, jabatan serta agensi kerajaan bagi mempercepat pelaksanaan agenda reformasi birokrasi negara. Usaha ini turut memberikan penekanan terhadap peningkatan keekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam, pemantapan tadbir urus serta pembudayaan inovasi demi kesejahteraan rakyat.
Oleh: Nurin MI



