𝗞𝗘𝗥𝗝𝗔𝗦𝗔𝗠𝗔 𝗠𝗔𝗥𝗔–𝗥𝗛𝗕 𝗜𝗦𝗟𝗔𝗠𝗜𝗖 𝗠𝗘𝗠𝗣𝗘𝗥𝗞𝗔𝗦𝗔 𝗘𝗞𝗢𝗦𝗜𝗦𝗧𝗘𝗠 𝗞𝗘𝗪𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗦𝗢𝗦𝗜𝗔𝗟 𝗜𝗦𝗟𝗔𝗠 𝗕𝗘𝗥𝗔𝗦𝗔𝗦𝗞𝗔𝗡 𝗪𝗔𝗞𝗔𝗙

mara

KUALA LUMPUR, 22 Mei 2026 – Pengarah Kanan Pelaburan MARA, Dr. Azmi Amat Murjan telah menerima kunjungan hormat daripada Dato’ Adissadikin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam memperkasa agenda wakaf dan pendanaan sosial Islam yang lebih mampan serta berimpak tinggi.

Perbincangan tertumpu kepada usaha membangunkan ekosistem wakaf yang lebih inklusif menerusi pelaksanaan projek-projek berteraskan pendidikan, keusahawanan dan kebajikan. Inisiatif ini diyakini mampu memperluaskan manfaat wakaf kepada lebih ramai golongan yang memerlukan, selaras dengan aspirasi pembangunan ummah serta kesejahteraan masyarakat.

Selain itu, kedua-dua pihak turut meneroka integrasi teknologi pembayaran digital melalui RHB Pay bagi memudahkan penyertaan masyarakat untuk berwakaf secara lebih pantas, telus dan berterusan. Pendekatan digital ini dilihat mampu memperkasa budaya wakaf moden yang seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.

Semoga jalinan kerjasama strategik ini menjadi pemangkin kepada inovasi baharu dalam sektor wakaf dan kewangan sosial Islam, seterusnya memperluas impak manfaat kepada masyarakat serta menyokong pembangunan ekonomi ummah yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Oleh: zamry