𝗠𝗔π—₯𝗔 𝗗𝗔𝗑 π——π—”π—¬π—’π—‘π—˜ 𝗗𝗔𝗧𝗔 π—–π—˜π—‘π—§π—˜π—₯𝗦 π—£π—˜π—₯π—žπ—”π—¦π—” π—˜π—žπ—’π—¦π—œπ—¦π—§π—˜π—  π—£π—˜π—‘π——π—œπ——π—œπ—žπ—”π—‘ 𝗠𝗔π—₯𝗔

mara

JOHOR BAHRU, 8 Julai 2026 – MARA terus mengorak langkah dalam pembangunan bakat digital negara menerusi kerjasama strategik bersama DayOne Data Centers bagi memperkasa ekosistem pendidikan dan latihan dalam bidang pusat data serta infrastruktur digital.

Kerjasama yang dimeterai melalui pertukaran Letter of Intent (LoI) ini memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri digital yang berkembang pesat di Malaysia.

Majlis pertukaran LoI tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Zulfikri Osman, Ketua Pengarah MARA yang menyifatkan kerjasama ini sebagai satu langkah strategik dalam memastikan ekosistem pendidikan dan latihan MARA terus selari dengan keperluan industri masa hadapan.

Beliau berkata, hubungan erat antara institusi pendidikan dan industri amat penting dalam melahirkan bakat yang bersedia memenuhi keperluan sektor pusat data dan infrastruktur digital yang semakin berkembang.

Melalui kerjasama ini, Akademi Pusat Data MARA akan diperkenalkan menerusi program perintis yang melibatkan 70 graduan TVET MARA selama enam bulan bermula 1 Ogos 2026. Program tersebut merangkumi latihan industri, pembelajaran berasaskan industri, pembangunan kurikulum berteraskan kompetensi, pensijilan profesional serta pendedahan kepada operasi sebenar pusat data.

Peserta yang berjaya menamatkan latihan dan memenuhi standard kompetensi yang ditetapkan berpeluang diserap sebagai Juruteknik Data Centre dengan gaji permulaan sehingga RM4,500 sebulan.

Kerjasama ini turut melibatkan Malaysia China Institute (MCI), Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA serta Institusi Pendidikan MARA (IPMA) dalam penyelarasan program, pembangunan kurikulum dan pelaksanaan latihan.

Selain pembangunan bakat, kolaborasi ini turut merangkumi aspek keusahawanan, rantaian bekalan, pemindahan teknologi serta peluang pelaburan yang memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem MARA.

Turut hadir YBhg. Ir. Dr. Mahzan Teh, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, manakala delegasi DayOne Data Centers diketuai oleh Leigh Ann Schell, Executive Vice President, Global Human Resources bersama Jimmy Yan, General Manager Malaysia, DayOne Data Centers Malaysia Sdn. Bhd. yang mewakili syarikat dalam memperkukuh komitmen terhadap pembangunan bakat tempatan serta pertumbuhan industri pusat data negara.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MARA dalam memperluas jaringan industri dan melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi sektor berimpak tinggi. Bersempena sambutan 60 Tahun MARA, pelbagai inisiatif strategik akan terus dilaksanakan bagi menyokong aspirasi negara sebagai hab infrastruktur digital dan teknologi serantau.

Oleh: zamry