𝗠𝗔π—₯𝗔 𝗗𝗔𝗑 π—£π—’π—Ÿπ—œπ—¦ π—žπ—¨π—”π—Ÿπ—” π—Ÿπ—¨π— π—£π—¨π—₯ π—£π—¨π—£π—¨π—ž π—žπ—˜π—₯𝗝𝗔𝗦𝗔𝗠𝗔 𝗦𝗧π—₯π—”π—§π—˜π—šπ—œπ—ž

mara

KUALA LUMPUR, 8 Julai 2026 – Hubungan strategik antara MARA dan Polis Kuala Lumpur terus dipupuk menerusi kunjungan hormat yang diadakan bagi memperluas jaringan kerjasama antara kedua-dua organisasi dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MARA dalam menjalin kolaborasi dengan agensi strategik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan serta memberi manfaat kepada warga MARA dan masyarakat.

Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Dr. Azmi Amat Murjan, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) MARA yang mengetuai delegasi MARA ke atas CP Dato’ Fadil Haji Marsus, Ketua Polis Kuala Lumpur. Pertemuan ini menjadi platform untuk bertukar pandangan serta membincangkan pelbagai perkara berkaitan keselamatan, tadbir urus, pengurusan program dan kesejahteraan warga MARA.

Selain mempererat hubungan sedia ada, sesi perbincangan turut membuka ruang kepada penerokaan peluang kerjasama baharu yang berpotensi memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam mempertingkat keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Turut hadir ialah Encik Adham Hatta Abdul Samad, Pengarah Bahagian Aset dan Perolehan MARA, Encik Fareas Noew Hanzah, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat MARA serta Tuan Syed Saifuddin Syd Ahmad, Pengarah MARA Negeri Wilayah Persekutuan.

Kunjungan ini mencerminkan kesungguhan MARA dalam memperluas jaringan kerjasama rentas agensi sebagai usaha memperkasakan peranan organisasi dalam pembangunan masyarakat.

Bersempena sambutan 60 Tahun MARA, pendekatan kolaboratif seperti ini akan terus diperkasa bagi menyokong agenda pembangunan modal insan dan kesejahteraan Bumiputera.

Oleh: zamry