𝟱 𝗨𝗦𝗔𝗛𝗔𝗪𝗔𝗡 𝗠𝗔𝗥𝗔 𝗝𝗔𝗟𝗜𝗡 𝗞𝗢𝗟𝗔𝗕𝗢𝗥𝗔𝗦𝗜 𝗧𝗘𝗠𝗕𝗨𝗦𝗜 𝗣𝗔𝗦𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗝𝗘𝗣𝗨𝗡

mara

TOKYO, 12 Mac 2026 – Penyertaan MARA di FOODEX Japan 2026 terus membuahkan hasil apabila lima (5) usahawan MARA berjaya menjalin kolaborasi strategik bersama rakan pengimport antarabangsa bagi memperluaskan pasaran produk Malaysia ke Jepun dan negara lain.

Putra Food menarik minat pengimport Jepun melalui produk Nasi Lemak Rendang Ayam dan Nasi Goreng Kampung yang berpotensi dipasarkan ke sektor hotel, kafe dan restoran (HORECA) di Jepun. Sesi mencuba sampel produk yang diadakan bersama persatuan hotel di Tokyo menerima maklum balas yang sangat positif untuk potensi eksport.

Aducktive meneruskan kerjasama dengan syarikat pengimport Jepun, Kowari Orchard Inc., dengan penghantaran pertama dijangka bermula pada April 2026 ke rangkaian pasar raya seperti Donki dan MM Mart. Selain itu, Aducktive turut berjaya menembusi pasaran Korea Selatan melalui kerjasama dengan syarikat Q and Life Seoul, Korea.

Pisango pula menarik minat syarikat Kobe Busan yang memiliki kira-kira 1,200 outlet rangkaian Gyo Mu Super di Jepun. Keunikkan rasa dan pensijilan halal membuka ruang penghantaran pertama yang dianggarkan sebanyak 10 kontena bernilai sekitar RM2 juta, selain itu tiga (3) lagi syarikat turut berminat untuk berkolaborasi dengan Pisango serta mencatat potensi keseluruhan jualan dianggarkan sekitar RM37 juta bagi tempoh lima (5) tahun.

Syarikat Nims Adeliciouszs pula, meneruskan kerjasama bersama pengimport Jepun, Yunige Ltd. bagi pemasaran produk Nims di rangkaian outlet seperti Donki, Costco, AEON dan Kobe Busan yang merangkumi kira-kira 4,000 outlet di Jepun.

Joeyess mengambil peluang memperkenalkan produk baharu iaitu nenas segar Sarawak, yang telah mula mendapat sambutan baik daripada pengunjung FOODEX. Hasilnya, kerjasama baharu telah dimeterai bersama syarikat Kowari Orchard Inc. bagi membawa produk tersebut ke pasaran Jepun.

Pencapaian ini membuktikan produk usahawan MARA terus mendapat tempat di pasaran antarabangsa serta berpotensi berkembang lebih jauh di peringkat global.

Oleh: shafiz hamzah