53 BAKAL GRADUAN GMI DIRAI, KECEMERLANGAN DAN INOVASI DAPAT PENGIKTIRAFAN INDUSTRI
KAJANG, 30 Oktober 2026 – Kecemerlangan penghasilan projek tahun akhir terbaik serta pencapaian akademik pelajar German-Malaysian Institute (GMI) mendapat pengiktirafan menerusi GMI 32nd Convocation Special Awards Hi-Tea Ceremony 2026 yang berlangsung di Dewan Feisol Hassan, GMI.
Seramai 53 bakal graduan diraikan menerusi 19 kategori anugerah khas menjelang Majlis Konvokesyen GMI Ke-32 pada 31 Oktober ini.
Antara yang mencuri tumpuan ialah Muhammad Safry Mohd Shahuri, pelajar Diploma in Engineering Technology (Machine Tools Maintenance), yang dinobatkan sebagai Pelajar Keseluruhan Terbaik GMI 2026 menerusi anugerah berprestij GMI Ehrenpreis für Exzellenz 2026 atas keemerlangan akademik dan kokurikulum. Beliau trut menerima Anugerah Pelajar Terbaik Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.
Pengiktirafan kecemerlangan pelajar ini turut mendapat sokongan 11 syarikat industri yang menyumbang kepada anugerah khas, sekali gus mencerminkan hubungan strategik antara GMI dengan pemain industri dalam pembangunan bakat teknikal negara.
Kerjasama ini diperkukuh menerusi Industry Advisory Council (IAC) yang dianggotai 18 ahli panel industri bagi memastikan kurikulum dan latihan kekal relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan.
Di samping meraikan bakal graduan yang menerima anugerah khas, majlis ini turut mengetengahkan pameran Edutainment Helicopter Simulator, sebuah projek bersepadu yang melibatkan tujuh projek tahun akhir pelajar dalam bidang kejuruteraan elektrik, kejuruteraan mekanikal serta teknologi komputer dan informasi.
Pembangunan projek ini dilaksanakan secara berfasa bermula pada 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2028.
YBhg. Puan Lailatul Asmah Mohamad Tahir, Pengarah Kanan Pelaburan MARA, yang hadir menyempurnakan penyampaian anugerah, menekankan bahawa inovasi pelajar tidak seharusnya terhenti sebagai pencapaian akademik, sebaliknya perlu dikembangkan menjadi produk dan penyelesaian praktikal yang mempunyai nilai komersial serta memberikan manfaat kepada industri dan masyarakat.
Kejayaan ini mencerminkan komitmen MARA dalam melahirkan graduan TVET yang bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, malah berupaya menghasilkan inovasi, meneroka peluang keusahawanan serta menyumbang kepada pembangunan industri dan ekonomi.
Oleh: Nurin MI



