𝗨𝗦𝗔𝗛𝗔π—ͺ𝗔𝗑 𝗠𝗔π—₯𝗔 π—§π—˜π—₯𝗨𝗦 π—•π—˜π—₯𝗗𝗔𝗬𝗔 π—¦π—”π—œπ—‘π—š π— π—˜π—Ÿπ—”π—Ÿπ—¨π—œ π—¦π—’π—žπ—’π—‘π—šπ—”π—‘ π—£π—˜π— π—•π—”π—‘π—šπ—¨π—‘π—”π—‘ π—£π—˜π—₯π—‘π—œπ—”π—šπ—”π—”π—‘

mara

SRI AMAN, 12 Jun – YB Datuk Hajah Rubiah Binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah semalam telah mengadakan lawatan ke premis usahawan bimbingan MARA di Bazar MARA Sri Aman bagi meninjau perkembangan perniagaan serta keberkesanan kemudahan ekosistem keusahawanan yang disediakan oleh MARA kepada usahawan Bumiputera.

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MARA dalam memperkukuh hubungan dengan usahawan serta memantau impak bantuan dan kemudahan yang disalurkan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan di kawasan luar bandar.

Dalam lawatan tersebut, beliau meninjau operasi Fassma Enterprise yang diusahakan oleh Abang Muhd Faris Bin Abang Ali menerusi jenama HitBarber Classic di Bazar MARA Sri Aman.

Usahawan lepasan GIATMARA Petrajaya itu berjaya mengembangkan perniagaan dandanan rambutnya sehingga membuka dua cawangan di Sri Aman hasil pengalaman, latihan kemahiran dan sokongan pembangunan perniagaan yang diterima.

Prestasi perniagaan syarikat turut menunjukkan peningkatan apabila nilai jualan meningkat daripada RM95,000 pada tahun 2024 kepada RM133,000 pada tahun 2025. Selain menyediakan peluang pekerjaan kepada lima penduduk tempatan, syarikat berkenaan turut menerima kemudahan Sewaan Premis dan Pembiayaan MARA bagi memperkukuh operasi perniagaannya.

Turut diketengahkan dalam lawatan tersebut ialah kejayaan Sya Trigona Familyz yang diusahakan oleh Norina Anak Bunyam di Lubok Antu. Perusahaan madu kelulut itu berjaya menembusi pasaran seluruh Malaysia, Brunei dan Kalimantan, Indonesia hasil penekanan terhadap aspek kualiti produk serta pematuhan pensijilan termasuk HALAL dan MyIPO.

Syarikat berkenaan mencatatkan peningkatan jualan daripada RM120,000 pada tahun 2024 kepada RM200,000 pada tahun 2025 dan aktif menyertai pelbagai program promosi serta pameran di dalam dan luar negara bagi memperluaskan pasaran produk tempatan.

Lawatan ini mencerminkan komitmen MARA dalam menyediakan ekosistem pembangunan usahawan yang menyeluruh merangkumi latihan, pembiayaan, geran pembangunan perniagaan dan premis perniagaan bagi membantu usahawan Bumiputera meningkatkan daya saing serta mengembangkan perniagaan secara mampan.

Kejayaan yang dicapai oleh usahawan bimbingan MARA di Sri Aman membuktikan bahawa sokongan berterusan dan pembangunan kapasiti yang strategik mampu melahirkan lebih ramai usahawan berdaya tahan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan komuniti setempat.

Oleh: firusafira