𝗠𝗔𝗥𝗔 𝗣𝗘𝗥𝗟𝗨𝗔𝗦 𝗣𝗘𝗟𝗨𝗔𝗡𝗚 𝗣𝗘𝗡𝗗𝗜𝗗𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗥𝗝𝗔𝗬𝗔 𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗜𝗡𝗗𝗨𝗦𝗧𝗥𝗜 𝗟𝗢𝗚𝗜𝗦𝗧𝗜𝗞
Bandar Penawar, 12 Jun 2026 – Peluang pendidikan, latihan dan kerjaya dalam industri logistik terus diperluaskan oleh MARA bagi memastikan lebih ramai pelajar dan graduan Bumiputera dapat memanfaatkan pertumbuhan sektor strategik yang menjadi antara pemacu utama ekonomi negara.
Pendekatan ini bukan sahaja membuka akses kepada laluan pendidikan yang relevan, malah meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui pendedahan yang lebih dekat dengan keperluan industri.
Perkara tersebut dizahirkan oleh Timbalan Ketua Pengarah MARA, Ir. Dr. Mahzan Teh ketika menghadiri Mesyuarat STO Bil. 2/2026 di Kolej Profesional MARA (KPM) Bandar Penawar, Johor semalam.
Dalam amanatnya, beliau memperkenalkan naratif baharu STO yang menekankan peralihan daripada pendekatan Intake-Based kepada Industry & Investment-Based bagi memastikan program pendidikan dan latihan MARA sentiasa responsif terhadap keperluan industri serta perkembangan pelaburan semasa.
Turut diadakan sesi libat urus bersama PKT Logistics Group bagi meneroka potensi kerjasama strategik dalam pembangunan bakat dan laluan kerjaya industri logistik.
Selain itu, pembentangan inovasi oleh pelajar KPM turut menampilkan pelbagai idea dan penyelesaian kreatif yang mencerminkan keupayaan generasi muda MARA untuk menyumbang kepada pembangunan industri logistik yang semakin berkembang dan berdaya saing.
Oleh: hamli



