UPTM DAN OPENLEARNING PERKASA PEMBELAJARAN DIGITAL
KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2026 – Pembelajaran digital terus berkembang daripada medium penyampaian ilmu kepada ekosistem yang mampu mempersiapkan pelajar dengan kemahiran dan kesiapsiagaan untuk melangkah ke alam pekerjaan.
Disempurnakan oleh YBhg. Encik Zahari Aziz, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA merangkap Ahli Lembaga Pengarah KPTMSB, Majlis Pelancaran Modul Employability Advantage OpenLearning Learning Management System (LMS) dan Platform OpenLearning UPTM Academy serta Sesi Jalinan Kerjasama Strategik MARA menjadi platform memperkukuh kerjasama antara MARA, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan OpenLearning.
Penganjuran ini turut membuka ruang penerokaan teknologi pembelajaran yang berpotensi meningkatkan pengalaman pendidikan dan kebolehpasaran pelajar dalam ekosistem pendidikan MARA.
Employability Advantage merupakan modul baharu dalam OpenLearning LMS yang direka khusus untuk meningkatkan kebolehpasaran serta kesiapsiagaan pelajar menghadapi alam pekerjaan.
UPTM merupakan antara institusi pendidikan terawal yang akan mengguna pakai modul berkenaan, sekali gus memperluas peranan platform pembelajaran digital daripada menyokong proses pengajaran dan pembelajaran kepada pembangunan kesiapsiagaan kerjaya.
Kerjasama UPTM dan OpenLearning telah bermula sejak Mac 2026 menerusi penggunaan OpenLearning LMS yang menyokong proses pengajaran dan pembelajaran kira-kira 8,000 pelajar UPTM. Platform sama turut dimanfaatkan menerusi UPTM Academy untuk menawarkan dan mempromosikan kursus micro-credential.
Melangkah ke hadapan, kerjasama ini membuka ruang kepada penerokaan penggunaan OpenLearning LMS dalam rangkaian institusi pendidikan MARA, khususnya Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA.
Melalui penerokaan ini, MARA terus memperkukuh ekosistem pendidikan yang bukan sahaja memanfaatkan teknologi dalam pembelajaran, malah membina generasi berkemahiran, berdaya saing dan lebih bersedia mendepani perubahan dunia pekerjaan.
Oleh: fn


